TERBANG TINGGI

Kau ingin tahu terbang tinggi apa pengertiannya. Kau perlahan-lahan melangkahkan kaki. Cuba mendaki sejauhnya langit yang tinggi. Seperti mereka yang telah merasa terbang tinggi apa pengertiannya.

 
:: Lensa ::

Menanti Di Barzakh


ku merintih.. aku menangis..
ku meratap.. aku mengharap..
ku meminta dihidupkan semula
agar dapat kembali ke dunia nyata

perjalanan rohku
melengkapi sebuah kembara
singgah di rahim bonda
sebelum menjejak ke dunia
menanti di barzakh
sebelum berangkat ke mahsyar
diperhitung amalan
penentu syurga atau sebaliknya

tanah yang basah berwarna merah
semerah mawar dan juga rindu
tujuh langkah pun baru berlalu
seusai talkin bernada syahdu
tenang dan damai di pusaraku
nisan batu menjadi tugu
namun tak siapa pun tahu
resah penantianku

terbangkitnya aku
dari sebuah kematian
seakan kudengari
tangis mereka yang kutinggalkan
kehidupan disini
bukan suatu khayalan
tetapi ia sebenar kejadian

kembali roh kembali
kembalilah ke dalam diri
sendirian sendiri
sendiri bertemankan sepi
hanya kain putih yang membaluti tubuhku
terbujur dan kaku
jasad di dalam keranda kayu

ajal yang datang di muka pintu
tiada siapa yang memberitahu
tiada siapa pun dapat hindari
tiada siapa yang terkecuali
lemah jemari nafas terhenti
tidak tergambar sakitnya mati
cukup sekali tak sanggup
untuk ku mengulangi

jantung berdegup kencang
menantikan malaikat datang
menggigil ketakutan
gelap pekat dipandangan
selama ini diceritakan
kini aku merasakan
di alam barzakh jasad dikebumikan

ku merintih aku menangis
ku meratap aku mengharap
ku meminta dihidupkan semula
agar dapat kembali ke dunia nyata...

Lagu: Fadzli Far East
Lirik: Ito Lara

Merah Saga


saat langit berwarna merah saga
dan kerikil perkasa berlarian
meluncur laksana puluhan peluru
terbang bersama teriakan takbir

semua menjadi saksi
atas langkah keberanianmu
kita juga menjadi saksi
atas keteguhanmu
ketika yahudi-yahudi membantaimu
merah berkesumba di tanah airmu
mewangi harum genangan darahmu
membebaskan bumi jihad Palestina
perjuangan telah kau bayar dengan jiwa
syahid dalam cinta-Nya

:: Jejak Kalian ::
:: Karya Pilihan ::

Anak Pelarian

sejak dilahirkan dari rahim ibu
mereka belajar
di sekolah hidup menguji
sengketa keliling
mendewasakan mereka
kepayahan adalah
permainan hari-hari
khemah itu adalah
mimpi yang sukar
malam yang memanjang
diisi dengan kelaparan
fajar subuh adalah harapan
sebuku roti
penyambung nyawa yang
semakin genting

::Sahrunizam Abdul Talib::
::Mingguan Wanita::
::1 Mac 2002::

:: Jumlah Kunjungan ::

Free Web Site Counter

sedang membaca

:: Tikaman Madah ::

Menjelang malam, pernahkah kau pasang telinga di dinding jarang pondok petani sebelum dihembusnya pelita derita. Pemimpin; kau cuma bermain kata-kata.

::kemakmuran::
oleh: Anbakri Haron

TERIMA KASIH DAUN KELADI
Thursday, August 21, 2008


Bismillahirrahmanirrahim.

Saya dah fikir lama.

Blog ni sering sangat terbiar. Saya tak suka. Tapi dah tak punya kekuatan, kerajinan, kelapangan macam dulu, untuk update selalu.

Maka, mungkin patut saya ucap selamat tinggal.

Selamat tinggal.

Jadi, untuk kali ni, cuma nak rakam terima kasih, dan segala bentuk ucapan yang seerti dengannya.

Kepada semua yang beri sokongan. Sejak blog ni kaler hitam. Kemudian putih polka dot. Kemudian biru.

Sejak saya mula belajar2 pasang sayap. Sehinggalah saya berjaya terbang, walau masih tak berapa tinggi. [Ya, ’terbang tinggi’ adalah metafora. Beberapa pembaca terawal mungkin tahu, atau masih ingat, maksud di sebaliknya. Kepada pembaca yang sedikit terlewat, usah tanya, sebab saya tak akan ulang memberitahunya.]


Sejak saya menulis di blog lama. Kemudian beralih ke Terbang Tinggi.

Sejak zaman blogger masih tak berapa nak ada. Dan kita yang tak berapa nak ramai, saling punya masa untuk ziarah-menziarah. Hinggalah sekarang, blog dah bersepah2, macam hujan yang mencurah2.

Sejak saya masih keliru dan segan2. Dan kalian pun muncul seorang demi seorang, beri saya keyakinan. Untuk belajar, untuk menulis, untuk buat keputusan, untuk sekian-sekian.

Sejak saya baru nak kenal bumi Terengganu, hingga saya dah mula sebati dengan tanah, air dan udara di sini.

Sejak saya update hampir setiap hari, hingga zaman saya mendelete lebih kurang 60% entri. Seterusnya tiba fasa blog ni seolah tidak lagi berpenghuni.

Sejak tiada siapa kenali saya di luar alam maya, hingga perlahan2 bertemu dan berhubung dengan beberapa pembaca. Seterusnya dijejak pula oleh teman2 lama.

Dah lama.

Kalian yang ketika kita mula kenal, masih terkial2 menyesuaikan diri dengan alam universiti. Yang baru mula master, tapi kini dah gah dengan kerjaya.

Yang ketika itu masih bertungkus-lumus dengan kuliah dan assignment, tapi kini dah konvo, dah sambung master, dah kerja.

Yang bergelut dengan segala cubaan bumi Mesir, UK, Jordan dll. Tapi kini dah jejak Malaysia tercinta untuk tabur jasa.

Yang baru2 belajar kenal blog, bangkit sama2, kemudian jumpa dunia baru, lantas lebih selesa tanpa saya.

Terima kasih.

Untuk yang tak jemu2 menolak saya ke daerah penulisan kreatif. Walau saya sangat tak yakin pada mulanya.

Untuk yang menegur segala salah silap dalam susun kata saya.

Untuk yang berkongsi pelbagai ilmu, pengalaman, pandangan, gurauan, bantuan.

Untuk yang hampir setiap hari mengetuk kotak email dan jendela YM saya.

Kalian, terutama yang mewarnai hari2 saya sepanjang 2006 hingga awal 2007, sangat luar biasa. Saya simpan semua saat yang kita kongsi, erat2, dalam kotak kenangan.

Maaf juga.

Untuk yang pernah menghulur ’rasa itu’, tapi saya menolaknya, lantas terus memilih untuk mendiam.

Untuk yang pernah jadi teman berdebat, atau bergurau sakan, hingga terguris tanpa saya perasan.

Untuk yang sering bertanya khabar, tapi saya diam membisu tanpa hidangan terbaru. Lantas kalian memilih untuk tidak lagi jejak ke mari.

Terima kasih semua.

Saya akan ingat zaman2 aktif berblog dulu. Waktu interaksi kita hampir setiap hari.

Saya akan biar blog ini di sini. Manalah tahu ada yang mahu baca entri terdahulu.

Dan kalau2 datang seru, mungkin sekali-sekala saya akan catat juga apa2 yang rasa mahu dicatat.

Insyaallah.

Jika ada apa2 yang penting, bagi yang ada ID YM saya, boleh hubungi saya di situ. Jarang online. Tapi tak apa, tinggalkan saja offline mesej. Akan dibalas bila berkelapangan, insyaallah.

Sekali lagi. Terima kasih semua. Yang pernah bersama saya di Terbang Tinggi.

Hehe.. macam ucapan apa je :D

kata Hani pada 6:22 PM   2 reaksi
BIDADARI
Thursday, June 12, 2008
ku ingin bertemu bidadari
lalu ingin kukhabarkan padanya
aku inilah yang kau cemburukan
ketika hayatku di dunia


Mahu jadi wanita tercantik yang memaku pandangan. Atau wanita yang mampu memiliki segala yang diinginkan. Atau jadi wanita teragung di dunia dengan segala kelebihan. Adalah mustahil. Kerana belum ada dalam sejarah, apatah lagi mutakhir ini, wujudnya wanita yang sempurna-sesempurnanya. Malah di dunia ni pun tidak wujud tempat yang penuh bahagia semata, seperti Shangri La.

Segala kesempurnaan tiada bandingan yang seharusnya ada pada seorang wanita, hanyalah dimiliki bidadari. Untuk bertemu dan berkenal-kenalan, terlebih dahulu perlu miliki pas kebenaran untuk masuk ke kediaman mereka – syurga.

Lelaki. Tak perlulah hingga buntang terbeliak mata merenung dan scan habis2an wanita yang kononnya cantik pada pandangan nafsu mata. Beauty is only skin deep. Tersiat saja kulit yang ada, tiada beza lagi antara Angelina Jolie dengan nenek yang berniaga petai di pasar tani. Alihkan pandangan itu. Dari wanita yang tidak dihalalkan, kepada lingkar huruf di lembar al-Quran misalnya. Bidadari yang menunggu kamu di syurga, berbilion kali ganda jauh lebih indah dan kekal berbanding perempuan itu, kawan.

Wanita. Usahlah dengki2 pada bidadari yang dikurnia Allah segala keindahan. Kamu malahan mampu jadi wanita yang dicemburui bidadari! Ya, bidadari yang serba sempurna dan memiliki segala sifat ketaatan itu juga bisa cemburukan wanita biasa seperti kamu. Agaknya kalau dapat tahu diri dicemburui Victoria Beckham atau Erra Fazira yang begitu2 tu pun sudah tak cukup nafas nak berbangga, inikan pula jika dicemburui bidadari syurga yang demikian taat dan sempurna. Jadi, siapakah wanita yang dicemburui bidadari? Jawapan mudah; wanita solehah.

Seperti yang diceritakan dalam sebuah hadis panjang riwayat at-Thabrani daripada Ummu Salamah (yang saya kongsi sebahagiannya saja di sini).

Aku (Ummu Salamah) bertanya, ”Ya Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia atau bidadari bermata jeli?”

Baginda menjawab, ”Wanita2 dunia lebih utama daripada bidadari2, seperti kelebihan apa yang nampak dari apa yang tidak terlihat.”

Aku bertanya, ”Mengapa wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari?”

Baginda menjawab, ”Kerana solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. (Di syurga) Allah memancarkan cahaya di wajah mereka, tubuh mereka adalah sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuningan, dandanannya mutiara, dan sisirnya terbuat dari emas. Mereka berkata, ”Kami hidup abadi dan tidak mati. Kami lemah lembut dan tidak jahat sama sekali. Kami selalu mendampingi dan tidak berganjak sama sekali. Kami redha dan tidak pernah merungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya.”
Ok, kata kuncinya ialah solat, puasa dan ibadah. Dan usah sempitkan definisi ’ibadah’ itu semata2 kepada duduk di tikar solat sahaja. Segala perkara makruf yang dilakukan dengan niat yang betul, dan betul pula cara pelaksanaannya, adalah ibadah. Belajar, bekerja, berbuat baik kepada keluarga dan tetangga, malah tidur dan main boling pun boleh jadi ibadah.

Adam, selamat mengumpul modal buat membeli tiket masuk ke kediaman bidadari. Dan Hawa, selamat berusaha menjadi wanita istimewa yang dicemburui bidadari syurga tatkala kamu masih lagi di dunia.

:: Kata2 di bahagian awal entri ini disalin dengan kebenaran, dari ucapan seorang kenalan, Sofi. Syukran, ukhti. May Allah bless.
:: Saya tak sempat check taraf hadis di atas. Mungkin ada sesiapa yang tahu, harap bantu :)
kata Hani pada 6:03 PM   0 reaksi
NAMPAK & SOROK
Monday, May 26, 2008
Ini rakaman cerita Nampak.

A: Tu Yasser Arafat kan, kak? (merujuk sekeping gambar di sebuah akhbar arus perdana)
B: Eh, kenal pula? :)
A: Ada tulisan kat bawah.
B: Oh, caption... :)
A: Dia hidup lagi ke, kak?
B: Hah?!
A: Err... dia dah mati ke?
B: Hah??!!
A: Err... dia dah mati ye? Lupa lak saya. Yang ganti dia, Saddam Hussein kan?
B: HAH???!!! Awak ni biar benar. Ini watak2 penting kisah negara umat Islam tau tak?
A: Err... tak tau kak. Sibuk exam.
B: Awak exam baru start hari ni. Cerita Arafat ngan Saddam ni dah berzaman, cik adik.
A: Err... tapi Saddam dah mati kan kak? Kena gantung kan. Siapa ganti dia?
B: Saddam ni sebenarnya siapa awak rasa? Camne awak boleh kata dia ni ganti Arafat pulak? Sorang kat Palestin, sorang kat Iraq.
A: Errr... Saddam? Tau. Dia tu la yang orang jumpa menyorok dalam lubang kan?
B: Hmm.. ye lah!
A: Fuhh.. nasib baik kali ni betul.

A ialah kawan kepada C, yang sebelum ni pernah bertanya kepada B, “kak, PAS tu kumpulan ajaran sesat ke?”. Mereka bukan budak pra-sekolah, tapi pelajar tahun dua Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Malaysia Terengganu.

Oh generasiku :(
......................

Ini pula rakaman cerita Sorok.

D: Kenapa ada orang sampai mengandung anak luar nikah ya?
B: Nafsu plus syaitan.
D: Diorang tak ada rasa malu ke agaknya?
B: Bukan soal malu, tapi soal akal dan iman.
D: Masa terjebak tu, diorang yakin takkan ada orang yang tahu kot.
B: Diorang sembunyikan perzinaan diorang dari makhluk yang lemah. Diorang menutup perbuatan tu dari pandangan hamba yang fakir. Tapi...
D: Tapi?
B: Tapi tanpa dibenteng rasa malu, tanpa dihadang rasa takut... diorang mempertontonkan perbuatan tu kepada Allah! Seolah-olah Allah tu pemerhati paling lemah. Diorang ’hina’ Allah dengan perbuatan yang hina tu.

Ah, Sorok masih terlalu baru melihat dunia. Belum faham apa2. Hanya itu yang Sorok sempat dengar.

:: Nampak dan Sorok adalah dua ekor kucing baru di rumah sewa saya. Bermukim di ruang tamu. Lahir 20.04.2008. Adik kepada si Budak Kayu. Kat atas tu gambar diorang masa berusia sebulan :D
:: Ni sebenarnya adalah entri lama yang dipublish semula.

kata Hani pada 5:22 PM   0 reaksi
RENCAM
Tuesday, May 06, 2008

Salam. Sy sepatutnya hantar SMS ni Maghrib td, tp biasa la. Pakcik dh tua. Apapun slamat hari lahir. Mudah2an umur awk sentiasa dberkati selamanya. Amin”. Satu. ”Hapy befday. Semoga pnjg umor murah rezki.. Org y 1st ucap kn? Ni y ke 20 bape? Dh tua rupenye.. Bile org nk dpt abg ipar nih.??!! Lg cpt lg bgs.. :D Hahaha”. Dua. Dan lain-lain. Terima kasih :)

Dah dapat 1 set Tafsir al-Azhar. Terima kasih kepada diri sendiri! Dah sekian lama mengidam. Sekarang mengidam gitar pula.

Nampak & Sorok (my anak kucing) dah pandai bersihkan badan sendiri. Comelnya~

Dah berminggu tak update antivirus. Kesian laptop.

Tinggal sorang kat rumah sewa. Dah la malam-malam asyik hujan lebat.

Rasa macam nak tukar blog ni jadi putih. Lama dah biru.

CD Mozart hilang! Uwaa...

Tahun ni tak khatam Quran sekali pun lagi. *sigh*

Beli rak buku baru (lagi). Rak-rak lama dah tak muat.

Helmi dapat matrik Changlun. Dapat juga Asasi UPM.

Hari ni pakai baju kaler dark pink. Semalam merah. Sehari sebelum tu crimson.

1328 tahun yang lalu, pada tarikh ni, Muawiyah bin Abi Sufyan meninggal dunia.

Jap lagi nak pergi makan roti canai. Syaz, lets go :)

kata Hani pada 8:03 AM   1 reaksi
APOLOGI. BUKU. KOSONG.
Thursday, April 24, 2008
APOLOGI KEPADA BAKAT YANG TAK SEBERAPA
Dah terlalu jarang menulis sajak. Cerpen apatah lagi. Ilham datang, singgah, kemudian aku biar pergi. Rasa pun datang, singgah, kemudian aku biar pergi. ”Lama tak nampak sajak Hani di Dewan Sastera” kata Pak Bri, petang semalam lewat YM. Aku tak tau nak jawab apa.


BUKU YANG MASUK KE DALAM AKU
Di rak, berpuluh buku menjerit-jerit minta dibaca. Aku jenis baca buku sedikit sana sedikit sini. Termasuk novel. Sudahnya, berzaman baru habis. Tapi nyatanya, buku memang jarang lekang dari tangan, walaupun ketika sedang makan. Dah tabiat. ”Beli buku banyak-banyak jangan tak baca. Nanti kena sumpah dengan buku”. Entah siapa yang kata, aku lupa.

Terbaru (semalam dan hari ini), yang sedang aku hadap adalah ini;

1. Perjuangan Wanita Ikhwanul Muslimin [Zainab al-Ghazali]. Baru masuk second chapter. Ada 7 bab semuanya. Merakam pengalaman beliau sebagai pemimpin Jemaah Muslimat dan anggota Ikhwanul Muslimin. Juga ketika dalam tahanan di bawah pemerintah sekular Mesir.
2. Dari Salina ke Langit Petang [A. Samad Said]. Pun baru masuk 2nd chapter, out of 9. Bahasa buku ni mengalir lembut. Seperti aku masuk ke dalamnya. Tentang proses kreatif karya-karyanya, tentang pengalaman sebagai seniman. Tentang zaman-zaman awal seorang sasterawan rakyat.
3. The Long Nightmare: My 17 Years as a Political Prisoner [Said Zahari]. Aku sentiasa selesa baca kisah sebarang bentuk perjuangan, sebelum mahupun selepas merdeka. Zaman kini mahupun zaman awal penyebaran Islam. Buku ini, istimewa kerana ditulis oleh seorang yang diingati sebagai tahanan politik paling lama.
4. Nilai dan Harga Waktu dalam Kehidupan Muslim [Yusuf al-Qardhawi]. Ada 9 chapter. Rasa macam dah baca semua. Tapi insyaallah akan baca lagi. Ini adalah buku terjemahan dari versi asal al-Waqtu fi Hayaatil Muslim. Sebuah buku muhasabah yang sangat baik.
Tapi yang lebih sering aku belek dan tekuni ialah Bahasa Senjata [Sahrunizam Abdul Talib] dan Seberkas Kunci [T. Alias Taib]. Kedua-duanya antologi puisi. Agaknya puisi dan aku memang sebati dan sehati. Atau mungkin buku yang dihadiahkan orang memang kuat tarikannya :)


BILA SEMUA SAMA DENGAN KOSONG
Hujan. Sejak semalam. Nampaknya hujan jadi makhluk yang paling memahami. Sekurang-kurangnya bagi aku. Kerap sangat jadi manusia pendengar, sampai aku lupa bagaimana untuk berkata-kata, walaupun kepada diri sendiri. Kerap sangat menadah air mata orang, sampai aku tak punya tadahan lagi untuk air mata sendiri. Tolong, carikan aku tempat paling sunyi. Aku mahu bekukan indera yang lima. Biar satu saja yang bernyawa – hati.
kata Hani pada 10:12 PM   1 reaksi
TIBA-TIBA
Sunday, April 20, 2008

Teringat pulak kat korang. Sentimental.

Ok, gelakkanlah aku. Tapi memang, korang tiba-tiba masuk dan berlegar-legar dalam ingatan aku. Dan aku mula la ingat cerita-cerita dulu. Aku mengaku. (alaa.. aku tau korang pun kadang2 macam tu).

Manalah aku boleh lupa kawan-kawan yang sama-sama dengan aku tiap-tiap malam Sabtu ke Bukit Chagar. ’Berperang’ dengan naif, keliru, manja, nakal dan malas adik-adik Rumah Barkat. Itu pengalaman paling berharga. (Aku teringat Adam yang menangis kena denda ngan Adri masa kelas Matematik. Juga Baiti, budak tingkatan dua yang suka memberontak. Err, dan Pak Lah yang dipanggil ’Abang Mawi’ dek adik-adik tu.. hehe).

Korang jugak la yang tengok aku senyum, ketawa, menangis, tension, sedih, stress, puas hati, penat, bangga, kecewa. Yang buat aku happy itulah korang. Yang buat aku geram pun korang jugak. Aku kecik hati koranglah puncanya, aku dipujuk pun oleh koranglah juga. Aduhaiii... (tiba-tiba aku teringat ’ladang tebu’ di bibir Faiz. Juga gila-gila Sina, Adri, Mota, Irman. Tak lupa becok Ina dan Ayu). Masih macam tu ke korang?

Teringat jugak ’lepak-lepak’ kita di Ulu Tiram, Kuala Linggi, Esset, Beruas, balai cerap, bilik kelab. Tak terkecuali segala warung dan restoran. Dah macam hobi pula, berlegar sekitar Johor Bahru cari tempat-tempat makan menarik.

Faiz, Ina and Lily mesti ingat segala meeting kat tangga dewan, foyer library, kafe, bilik mesyuarat. Apat, Epoy and Nusi, yang selalu je muncul di meja aku time aku khusyuk study kat library. Yang juga kerap gelakkan aku sesuka hati sebab aku makan sikit tapi lambat. Hampeh! :P

Sam, ingat tak kau susah-susah belanja aku KFC semata-mata sebab tolong kau buatkan paperwork CCIC? Susah-susah juga hantar aku ke Kolej 13 malam-malam semata-mata sebab nak ambik notes dari member aku. Arigato~

Teringat jugak Man dan Zaki, yang meredakan keserabutan aku diganggu dek sorang mamat angau tu. Ish, angaunya tu betul-betul buat aku rasa macam kena kejar dek hantu.

Adib, Zaki dan Adri yang pernah jadi ’bodyguard’ aku siapkan eksperimen di makmal mikrobiologi jam 2.30 pagi. TQ very much! Juga Mad yang budi jasanya tak ternilai dek aku. Tak lupa Zaid, ‘adikku’ yang dah jadi menantu YB :)

Ish, asyik nama lelaki je. Ok Ain, Ina dan Nir pula. Nak buat macamana, apa-apa program pun balik-balik kita jugalah kaum hawa yang ada kan? Susah nak kerja dengan perempuan? Entah, terpulanglah. Kita ok je kan? Aku ingat lagi Faiz tak suka ramai sangat budak perempuan join (walaupun sebenarnya dia boleh dikategorikan sebagai ’buaya’ jugak – Faiz, sila jangan marah :P). Dia kata kalau ramai sangat budak perempuan ni leceh. Susah nak buat kerja. Hahaha.. sudahnya kita jugak la yang tinggal ikut piawai si Faiz tu.

Banyak sangat momen-momen best yang kita share. Tak larat la nak tulis. Memang susah nak cari kawan-kawan yang betul-betul sekepala, dalam kelompok yang besar pulak tu. Anehnya, aku jumpa korang semua. Berbeza kolej, berbeza fakulti, berbeza ideologi, tapi satu hati :)

Apa pun, korang ingat-ingat la kat aku yang dah bertahun tercampak kat Terengganu ni. Tapi kalau setakat keluar minum teh or pegi main boling, tak yah la ajak aku, jauh sangat nak ke KL tu :) Rasanya itu saja :P

:: Kalau tak silap, kat bawah ni gambar 3 tahun lepas. Yang kat atas tu pulak, lupa, 2003 or 2004 ek?

~ Adik-adik Rumah Barkat.

~ 'Geng malam Sabtu'.

kata Hani pada 9:29 AM   2 reaksi
3V
Wednesday, April 16, 2008
(ini bukan kuliah komunikasi, atau sesi deklamasi puisi Pak AGI)

Dalam banyak keadaan, komunikasi akan jauh lebih berkesan apabila 3V (verbal, vocal, visual) memainkan peranan serentak.

Kita semua ada verbal / kata-kata / perkataan. Hatta orang bisu sekali pun masih boleh menzahirkan kata2, dalam bentuk tulisan setidaknya. (Segala puji bagi Allah atas nikmat berkata2 yang kita ada).

Dalam komunikasi internet – berblog contohnya – kita saling berkomunikasi melalui elemen verbal (tulisan), sama ada sehala atau dua hala. Puji, kritik, pendapat, nasihat, gembira, sedih, marah, gurau, perli, penghargaan; semua digambarkan dalam susun2 kata.

Tapi sedar atau tidak, akan timbul situasi di mana puji disangka perli, nasihat disangka marah, kritik disangka dengki, serius disangka bergurau, ubat disangka jerat. Salah satu faktor penyebabnya ialah ketidakhadiran dua lagi elemen komunikasi berkesan iaitu vocal (intonasi) dan visual (penglihatan – dalam kes ini, body language).

Antara 3V itu, yang berperanan paling besar ialah visual. Body language adalah sangat jujur kerana ia ’internal reality’ yang dikawal oleh minda bawah sedar.

Tapi bagi kita di alam maya, keberkesanan komunikasi visual jadi sangat terhad kerana tiada ability untuk menganalisis body language seseorang. Sedangkan ia adalah ’bahasa’ yang terlebih dahulu sampai sebelum terzahirnya kata2. Tentunya dengan baca entri atau komen, kita tak mampu lihat ekspresi muka, gerak tangan, postur tubuh, angguk gelengnya, eye contact dll.

Ok. Selain tu, sepotong ayat yang sama jika dibaca dengan intonasi berlainan, akan membawa maksud berbeza. Bagi penulis atau pembaca blog, kita kehilangan alat komunikasi vocal. Sebagai penulis, mungkin penggunaan tanda baca dapat membantu menyampaikan maksud, walaupun pada keberkesanan minimum. Saya letak di sini satu contoh yang saya dapat ketika sertai Kaunselor Siswa dulu. Sila baca mengikut intonasi yang anda rasakan sesuai.

Susi menggigit anjing mati.
Susi menggigit, anjing mati.
Susi menggigit anjing... Mati...
Susi menggigit anjing! Mati?
Susi menggigit Anjing?... Mati!!!
Susi mengigit? Anjing!!! Mati…

Jadinya sekarang, terpulang pada diri sendirilah pula untuk membaca setiap karya, entri blog atau komen pengunjung dengan nada atau intonasi yang bagaimana. Tentunya nada baca bagi seorang optimis dengan seorang pesimis akan berbeza. Kehadiran sifat open-minded, prejudis, skeptikal, husnuzzan (baik sangka) dan sebagainya dalam diri seseorang juga akan turut mempengaruhi interpretasi masing2 terhadap sesuatu perkara. Bergantung kepada sifat mana yang dominan. Tak gitu?

Sebagai penutup, kita lihat dua gambar nostalgik dan popular di bawah yang menjelaskan betapa visual ’speaks louder’ than verbal ;D

“Saya tidak kecil hati” – Rafidah Aziz, Malaysia, Mac 2008

"We can be proud of ourselves. We've done so well getting to the final” –Steven Gerrard, Athens, Mei 2007.

P/s: anda membaca entri saya kali ni dengan intonasi yang bagaimana? ;)
kata Hani pada 1:50 PM   0 reaksi

:: Tuan Rumah ::

Nama: Hani

Tinggal di
Pahang-Johor-Terengganu, Malaysia

Tentang saya:
Practical. Visual learner. Music and rhythm alert. Love colors, art and literature like crazy. Optimist. Loyal. Reliable. Creative. Daydreamer. Intuitive. Full of emotions. Intelligent. Comfortable with conversation and teamwork.

Baca lagi

Lukisan oleh: Daun Hijau
:: Entri Terkini ::
:: Entri Dulu-dulu ::
:: Rangkaian ::
© 2005 TERBANG TINGGI Tema: Tech Blue. Rekaletak: Isnaini dan Hani