TERBANG TINGGI

Kau ingin tahu terbang tinggi apa pengertiannya. Kau perlahan-lahan melangkahkan kaki. Cuba mendaki sejauhnya langit yang tinggi. Seperti mereka yang telah merasa terbang tinggi apa pengertiannya.

 
:: Lensa ::

Menanti Di Barzakh


ku merintih.. aku menangis..
ku meratap.. aku mengharap..
ku meminta dihidupkan semula
agar dapat kembali ke dunia nyata

perjalanan rohku
melengkapi sebuah kembara
singgah di rahim bonda
sebelum menjejak ke dunia
menanti di barzakh
sebelum berangkat ke mahsyar
diperhitung amalan
penentu syurga atau sebaliknya

tanah yang basah berwarna merah
semerah mawar dan juga rindu
tujuh langkah pun baru berlalu
seusai talkin bernada syahdu
tenang dan damai di pusaraku
nisan batu menjadi tugu
namun tak siapa pun tahu
resah penantianku

terbangkitnya aku
dari sebuah kematian
seakan kudengari
tangis mereka yang kutinggalkan
kehidupan disini
bukan suatu khayalan
tetapi ia sebenar kejadian

kembali roh kembali
kembalilah ke dalam diri
sendirian sendiri
sendiri bertemankan sepi
hanya kain putih yang membaluti tubuhku
terbujur dan kaku
jasad di dalam keranda kayu

ajal yang datang di muka pintu
tiada siapa yang memberitahu
tiada siapa pun dapat hindari
tiada siapa yang terkecuali
lemah jemari nafas terhenti
tidak tergambar sakitnya mati
cukup sekali tak sanggup
untuk ku mengulangi

jantung berdegup kencang
menantikan malaikat datang
menggigil ketakutan
gelap pekat dipandangan
selama ini diceritakan
kini aku merasakan
di alam barzakh jasad dikebumikan

ku merintih aku menangis
ku meratap aku mengharap
ku meminta dihidupkan semula
agar dapat kembali ke dunia nyata...

Lagu: Fadzli Far East
Lirik: Ito Lara

Merah Saga


saat langit berwarna merah saga
dan kerikil perkasa berlarian
meluncur laksana puluhan peluru
terbang bersama teriakan takbir

semua menjadi saksi
atas langkah keberanianmu
kita juga menjadi saksi
atas keteguhanmu
ketika yahudi-yahudi membantaimu
merah berkesumba di tanah airmu
mewangi harum genangan darahmu
membebaskan bumi jihad Palestina
perjuangan telah kau bayar dengan jiwa
syahid dalam cinta-Nya

:: Jejak Kalian ::
:: Karya Pilihan ::

Anak Pelarian

sejak dilahirkan dari rahim ibu
mereka belajar
di sekolah hidup menguji
sengketa keliling
mendewasakan mereka
kepayahan adalah
permainan hari-hari
khemah itu adalah
mimpi yang sukar
malam yang memanjang
diisi dengan kelaparan
fajar subuh adalah harapan
sebuku roti
penyambung nyawa yang
semakin genting

::Sahrunizam Abdul Talib::
::Mingguan Wanita::
::1 Mac 2002::

:: Jumlah Kunjungan ::

Free Web Site Counter

sedang membaca

:: Tikaman Madah ::

Menjelang malam, pernahkah kau pasang telinga di dinding jarang pondok petani sebelum dihembusnya pelita derita. Pemimpin; kau cuma bermain kata-kata.

::kemakmuran::
oleh: Anbakri Haron

Tepu dengan Rindu
Tuesday, February 21, 2006
Bayu dan ombak laut
Senyum tangis sahabat
Aku rindu, terlalu!

Alhamdulillah.. CCIC 2006 UTM berakhir dengan jayanya.

Sesi terakhir, sblm salam ukhuwah; kami berdiri di tepi pantai membentuk halaqah dgn tangan dan bahu saling berpaut. Ditiup bayu laut dan dilatari deru ombak, dengan mata yang terpejam rapat.

Urusetia memainkan lagu ’Selamat Berjuang’. Saya tau saya akan sayu. Maka saya memilih untuk tidak memejamkan mata. Saya sangka dgn cara begitu saya boleh mengawal sebak. Sebaliknya yg berlaku, apabila airmata mengalir ketika lagu itu baru di rangkap kedua! Bertahun2 dan berpuluh program yg saya sertai; ini kali kedua saya sebak sehingga mengalirkan airmata. Pertama ketika Kem Pengukuhan Aqidah Naqib & Naqibah, bertahun dulu.

Saya sangat terharu melihat wajah2 sahabat sukarelawan yang selama ni menemani perjuangan saya di UTM. Perjuangan dlm pelajaran, kehidupan dan perjuangan menegakkan Kelab Penyayang UTM. Bermula dari sifar, dan kini sudah mampu berdiri gagah. Juga teringat pemergian Datin Seri Endon (penaung) dan En Md Yusup (penasihat) ke rahmatullah hampir serentak ketika kelab kami baru cuba bertapak kukuh. Faiz dan Fendi; kalau anda berdua berada bersama kami, saya pasti anda akan lebih sebak dari saya. Keringat dan semangat kalian tidak sia-sia.

Apat, Ayu, Adri, Ina, Ain, Pak Lah, Sanusi, Epoy, Abg Man, Zaki dan Irman. Saya sangat rindu untuk bersama kalian ke Bukit Chagar setiap malam Sabtu.

Dan buat kepimpinan baru, ikhlaskan diri. Percaya cakap saya, Allah akan permudahkan semua urusan kalau anda lakukannya tanpa mengharapkan sebarang ganjaran. Pertahankan kelab ni sebaik mungkin dan paling penting, jangan benarkan kelab ni dipolitikkan!

Terima kasih buat kalian yang mengajar saya tentang persahabatan, pengorbanan dan keikhlasan. Buat Sina dan Adib yang bersungguh2 membantu, terima kasih. Ganjarannya, DIA yang lebih tahu.

:: Belum pun 24 jam menghirup udara segar pantai timur, saya akan ke KL pula untuk 5 hari. Akan bertolak 20 minit saja lagi. Untuk MTE di PWTC.
kata Hani pada 9:10 AM   0 reaksi
Ilmu, Charity, Semangat!
Thursday, February 16, 2006

SATU Saya sedang menjana semangat. Tak mau jadi macam leopard kat atas tu!

DUATajuknya ialah ’Kepentingan Semangat Sukarela’. Saya menyatakan persetujuan untuk ke sana. Saling bertukar-tukar pendapat, pengalaman dan ilmu.

Sedikit yang pernah saya terbaca; bagi seorang Islam, soal ilmu pengetahuan perlulah dijadikan agenda utama dalam kehidupannya. Kerana Islam begitu menitikberatkan ilmu. Imam al-Ghazali pernah mengatakan bahawa kemuliaan manusia adalah kerana ilmu. Bukan disebabkan kekuatan diri, kerana unta lebih kuat dari manusia. Bukan kerana besarnya, kerana gajah lebih besar dari manusia. Bukan kerana beraninya, kerana binatang buas lebih berani dari manusia. Bukan kerana banyaknya makan, kerana lembu lebih besar perutnya dari manusia. Bukan pula kerana kerap dan kuatnya bersenggama, kerana burung pipit yang kecil itu lebih kuat dari manusia. Daripada gambaran yang diberikan oleh Imam al-Ghazali ini jelas menunjukkan bahawa kegagahan manusia adalah kerana ilmu pengetahuan.

Walau apa pun, dalam menadah ilmu pengetahuan, iman juga perlu sentiasa digilap dan dipelihara. Supaya dengan ilmu pengetahuan yang ditimba, disertai dengan iman maka akan lahirlah insan bertaqwa. Kerana kita sedia maklum bahawa manusia yang paling tinggi darjatnya di sisi Allah ialah mereka yang bertaqwa.

Ok, Minta diri dulu. Mahu selesaikan segunung tugasan yang masih berbaki.

_______________

“The best thing to give to your enemy is forgiveness;
To an opponent, tolerance;
To a friend, your heart;
To your child, a good example;
To a father, deference;
To your mother, conduct that will make her proud of you;
To yourself, respect;
And to all men, CHARITY

_______________

[Rujukan: Motivasi & Pembangunan Diri. Abdul Rahman Aziz. 1997. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.].

:: k H a: Terima kasih yang tak terhingga buat En. Sabri Ahmad atas motivasi, semangat & ilmu yang sudi dikongsi. Juga buat sahabat-sahabat maya yang sering jadi teman berkongsi idea dan pendapat, saya hargainya. Teramat!!

kata Hani pada 12:36 PM   0 reaksi
PENGEMIS BANGGA DENGAN TEMPURUNGNYA
Monday, February 13, 2006
Tuhan,
Aku ini si hina
sarat cela dan miskin upaya
jijik berlumur lumpur dosa
hadir melutut di tangga keagungan-MU
menghulur tempurung amal
yang reput dan retak
ketar menadah huluran rahmat
dalam rintih mengemis maghfirah

Janganlah hendaknya ENGKAU berpaling
dari fakir derhaka ini
Aku merayu
dalam sujud dan linang airmata
pandanglah aku
duhai ar-Rahman

(kHa, 11 Feb 05. 11:45 am)

Mar’ah itu bernama Ana. Pagi itu ditakdirkan TUHAN jiwanya resah gelisah, serba tidak kena. Lemas diterjah rasa bersalah.

Lantas dia meluangkan sedikit masa meski sesak dihimpit kesibukan kerja. Bersimpuh menghadap-NYA di celah-celah remang Dhuha. Entah kenapa terasa sayu menusuk-nusuk dada. Dihujani beban dosa yang terasa bertimpa-timpa. Ana pasti puncanya adalah tindakannya awal pagi tadi. Yang jika tidak diampunkan-NYA bisa saja menghumban dia ke neraka. Ana akur, mana mungkin dosa dibalas syurga. Ana merintih pada-NYA; ‘Ampunkan aku, Tuhan!’.

Terlintas di minda Ana kata-kata Ustaz Badrulhisham ketika Ana mengikuti Kem Pengukuhan Aqidah Naqib & Naqibah suatu masa dulu. ’Tiap kali berdoa memohon ampun dari ALLAH, bayangkan dosa yang kita lakukan ibarat sampah sarap yang mengotori seluruh tubuh. Menjijikkan. Dan istighfar serta doa itulah yang akan menyucikannya’.

Bila membayangkan diri yang dicemari dosa, serta status sebagai hamba; maka ketika itulah Ana terasa betapa kerdilnya diri.

Ana melihat diri ibarat seorang pengemis. Seluruh tubuh dicemari dosa, kecil dan besar. Sengaja dan tidak. Bertompok-tompok pula cela mazmumah. Sangat lemah, sehingga tidak mampu bergerak seinci pun kalau bukan kerana belas dari-Nya. Dan amalan yang sedikit, umpama tempurung yang digunakan untuk menadah rahmat dan keampunan ALLAH. Disulam dengan rantaian mazmumah, kurang pula digilap dengan zikrullah. Mana mungkin tempurung itu jadi begitu indah. Betapa malunya Ana mahu suakan tempurung itu ke hadrat DIA Yang Maha Agung! Apatah lagi mahu berbangga dengannya. Ya, mana mungkin seorang pengemis yang serba kekurangan mahu berbangga dengan tempurung buruknya?

Lantas Ana? Masihkah mahu berbangga dengan setitis amalmu? Sesekali ke rumah kebajikan mencurah ilmu, serasa mahu dicanang segenap penjuru. Dapat bertahajjud sekali sekala, sudah mula rasa bangga. Menghafaz kalamullah cuma beberapa surah, sudah mula rasa gah. Wahai Ana. Apalah sangat nilai tempurungmu itu kalau yang kau tadah dan kau rayu adalah rahmat dan maghfirah TUHANmu!

Ana jadi malu sendiri. Meminta itu ini dari ILAHI. Sedang nikmat yang dimiliki sedikit sahaja yang mampu Ana syukuri. Mengaku diri sebagai hamba. Tapi seringkali berlaku, apabila diseru dengan lafaz ”Haiya ’Alas-Solah”; Ana masih leka dengan urusan dunia. Tidak segera menyahut panggilan. Sedang resmi seorang hamba adalah sebaliknya: takkan bertangguh apabila dipanggil TUANnya.

Oh TUHAN, mengapakah mar’ah itu adalah ana?

”Ya ALLAH, aku memohon kepada-MU agar terbuka hati untuk berbuat kebajikan dan menjauhi kemungkaran, menyukai orang-orang miskin. Dan agar ENGKAU ampuni dan kasihani aku apabila ENGKAU hendak menimpakan sesuatu ujian itu. Dan aku memohon kecintaan-MU, dan kecintaan orang-orang yang mencintai-MU, serta cinta kepada amal perbuatan yang akan mendekatkan aku kepada cinta-MU. Ya Allah, jadikanlah rasa cinta kepada-MU itu lebih aku sukai dari diriku sendiri, keluarga dan air yang dingin” [1]

[1] Senjata & Pendinding Mukmin. Idrus Hj Alkaf. 2003. Darul Nukman.

kata Hani pada 10:57 AM   8 reaksi
DIA YANG TERLUKA HATINYA
Sunday, February 05, 2006
Gadis tahu Jejaka terluka. Marahnya berapi-api kepada Gadis. Bencinya membara-bara meski masih terselit rasa cinta. Tapi Gadis minta agar Jejaka mengerti. Gadis minta Jejaka faham bahawa Gadis adalah manusia. Seperti juga Jejaka. Dan manusia tidak sempurna, tiada upaya apa-apa melainkan atas kehendak-NYA.

Gadis hormati Jejaka. Zaman menadah dan menggali ilmu di menara gading, Jejaka antara nama utama dalam organisasi agama. Lantas mengapa hanya kerana seorang wanita sederhana seperti Gadis, maka Jejaka jadi tidak tentu hala? Jejaka kata Jejaka sayang. Jejaka kata Jejaka amat kerugian andai Gadis hilang. Jejaka kata tiada pengganti setanding Gadis. Jejaka kata suka dan cintanya kepada Gadis tidak tergambar dengan kata-kata. Tidak terhitung nilainya. Infiniti! Gadis kira Jejaka terlupa seketika bahawa tiada cinta lebih agung melainkan kepada DIA.

Gadis kagumi Jejaka. Jejaka berani tampil menegur cela di kalangan mahasiswa hatta peringkat kepimpinan teratas sekalipun. Jejaka mengaku pejuang agama. Jejaka benci kemungkaran di depan mata. Namun Jejaka bukan lagi Jejaka yang sama bila Gadis katakan ‘rasanya antara kita sampai di sini sahaja’.

Dahulu, ketika mula Jejaka meluahkan hasrat yang tersimpan; Gadis katakan pada Jejaka, saya tidak mahukan cinta lelaki di luar alam rumahtangga. Kata Jejaka, beri saya peluang. Janji Jejaka, dia takkan tersasar dari landasan. Jejaka cuba kotakan kata; Gadis dan Jejaka tidak pernah bertemu melainkan berteman dan ada urusan. Hati Gadis tetap kurang tenteram. Gadis katakan lagi, inikah yang Tuhan ajarkan? Jejaka diam.

Masa berlalu. Sekali-sekala Jejaka sudah berani ajak Gadis bertemu di waktu malam. Kata Jejaka sehari tak pandang Gadis bikin hati Jejaka tidak tenteram. Bila Gadis datang berteman, Jejaka pula tunjuk ragam. Gangguan, tiada privasi katanya. Gadis hairan. Ini bukan Jejaka yang Gadis kenal di kala awal persahabatan.

Jejaka makin menjadi-jadi. Pergerakan Gadis diawasi. Hatta ke Petronas, kafeteria atau ke library! Gadis rimas. Lemas. Sifat curiganya buat Jejaka fikir semua lelaki mahu rampas Gadis darinya. Jejaka bukan lagi Jejaka yang dulu. Mula melenting bila Gadis tak menurut kata.

Maaf Jejaka, Gadis bukan isteri anda!

Gadis sujud panjang di hadapan Tuhan. Mohon tunjukkan jalan penyelesaian. Jejaka yang dahulunya Ketua Biro Kerohanian, umpama hilang panduan. Gadis tidak mahu jadi punca Jejaka hilang pertimbangan. Kerana Gadis tahu wanita adalah punca fitnah akhir zaman.

Sudahnya Gadis memilih untuk tarik diri dari semua yang tidak berfaedah ini. Gadis minta Jejaka renung kembali, siapa dia dulu dan sekarang. Kembali menjadi Jejaka yang Gadis kenal dahulu. Jejaka bertanya, apa lagi yang kurang? Jejaka sudah serahkan segenap perasaan. Malah menolak hasrat wanita lain demi Gadis seorang.

Gadis katakan, 'saya mahu lelaki sebagai pembimbing, sebagai teman perjuangan di dunia yang sementara. Yang boleh saya hormat dan percaya. Yang bawa saya dekat kepada agama. Bukan lelaki yang tunduk di kaki saya hanya kerana cinta! Yang hilang thiqah malah goyah prinsipnya kerana seorang wanita! Saya tidak mencari-cari kekasih untuk dijadikan suami. Saya mencari suami yang mampu menjadi seorang kekasih. Dan saya mahu hadir di dalam hidup lelaki itu terlebih dahulu sebagai isteri, sebelum kemudiannya menjadi kekasihnya yang setia; ketika hidup dan selepas mati… dengan izin Allah...'

Sekian tahun berlalu. Hari ini Gadis pinta pada Jejaka, cukuplah menagih cinta bila sudah ditegaskan bahawa tiada terbuka peluang kedua. Usahlah dicanang keburukan Gadis yang sengaja Jejaka reka-reka. Hentikanlah mengganggu Gadis dengan kata-kata dan sikap Jejaka. Biarlah Gadis tenang dan bahagia, andai benar Jejaka cinta. Jua Gadis minta Jejaka akur, bahawa mencintai tidak semestinya memiliki!

:: k H a: Buat dia yang terluka hatinya, MAAFKAN SAYA. Usah nyalakan api permusuhan untuk membakar saya, kerana panasnya itu akan terlebih dahulu buat anda rentung menjadi arang!!!
kata Hani pada 8:25 AM   7 reaksi

:: Tuan Rumah ::

Nama: Hani

Tinggal di
Pahang-Johor-Terengganu, Malaysia

Tentang saya:
Practical. Visual learner. Music and rhythm alert. Love colors, art and literature like crazy. Optimist. Loyal. Reliable. Creative. Daydreamer. Intuitive. Full of emotions. Intelligent. Comfortable with conversation and teamwork.

Baca lagi

Lukisan oleh: Daun Hijau
:: Entri Terkini ::
:: Entri Dulu-dulu ::
:: Rangkaian ::
© 2005 TERBANG TINGGI Tema: Tech Blue. Rekaletak: Isnaini dan Hani