TERBANG TINGGI

Kau ingin tahu terbang tinggi apa pengertiannya. Kau perlahan-lahan melangkahkan kaki. Cuba mendaki sejauhnya langit yang tinggi. Seperti mereka yang telah merasa terbang tinggi apa pengertiannya.

 
:: Lensa ::

Menanti Di Barzakh


ku merintih.. aku menangis..
ku meratap.. aku mengharap..
ku meminta dihidupkan semula
agar dapat kembali ke dunia nyata

perjalanan rohku
melengkapi sebuah kembara
singgah di rahim bonda
sebelum menjejak ke dunia
menanti di barzakh
sebelum berangkat ke mahsyar
diperhitung amalan
penentu syurga atau sebaliknya

tanah yang basah berwarna merah
semerah mawar dan juga rindu
tujuh langkah pun baru berlalu
seusai talkin bernada syahdu
tenang dan damai di pusaraku
nisan batu menjadi tugu
namun tak siapa pun tahu
resah penantianku

terbangkitnya aku
dari sebuah kematian
seakan kudengari
tangis mereka yang kutinggalkan
kehidupan disini
bukan suatu khayalan
tetapi ia sebenar kejadian

kembali roh kembali
kembalilah ke dalam diri
sendirian sendiri
sendiri bertemankan sepi
hanya kain putih yang membaluti tubuhku
terbujur dan kaku
jasad di dalam keranda kayu

ajal yang datang di muka pintu
tiada siapa yang memberitahu
tiada siapa pun dapat hindari
tiada siapa yang terkecuali
lemah jemari nafas terhenti
tidak tergambar sakitnya mati
cukup sekali tak sanggup
untuk ku mengulangi

jantung berdegup kencang
menantikan malaikat datang
menggigil ketakutan
gelap pekat dipandangan
selama ini diceritakan
kini aku merasakan
di alam barzakh jasad dikebumikan

ku merintih aku menangis
ku meratap aku mengharap
ku meminta dihidupkan semula
agar dapat kembali ke dunia nyata...

Lagu: Fadzli Far East
Lirik: Ito Lara

Merah Saga


saat langit berwarna merah saga
dan kerikil perkasa berlarian
meluncur laksana puluhan peluru
terbang bersama teriakan takbir

semua menjadi saksi
atas langkah keberanianmu
kita juga menjadi saksi
atas keteguhanmu
ketika yahudi-yahudi membantaimu
merah berkesumba di tanah airmu
mewangi harum genangan darahmu
membebaskan bumi jihad Palestina
perjuangan telah kau bayar dengan jiwa
syahid dalam cinta-Nya

:: Jejak Kalian ::
:: Karya Pilihan ::

Anak Pelarian

sejak dilahirkan dari rahim ibu
mereka belajar
di sekolah hidup menguji
sengketa keliling
mendewasakan mereka
kepayahan adalah
permainan hari-hari
khemah itu adalah
mimpi yang sukar
malam yang memanjang
diisi dengan kelaparan
fajar subuh adalah harapan
sebuku roti
penyambung nyawa yang
semakin genting

::Sahrunizam Abdul Talib::
::Mingguan Wanita::
::1 Mac 2002::

:: Jumlah Kunjungan ::

Free Web Site Counter

sedang membaca

:: Tikaman Madah ::

Menjelang malam, pernahkah kau pasang telinga di dinding jarang pondok petani sebelum dihembusnya pelita derita. Pemimpin; kau cuma bermain kata-kata.

::kemakmuran::
oleh: Anbakri Haron

PESAN KAT DIRI SENDIRI
Friday, March 31, 2006
10 hari tak online.

Entah terbang ke mana semua semangat. Motivasi aku terbenam. Sangat dalam. Penat rasanya menggalas ‘nikmat yang padat’ ni. Kaki seolah terpasung untuk terus melangkah.

Maka aku paksa diri untuk berpesan kepada diri sendiri;

Hani, just go! Destiny is not a matter of chance; it is a matter of choice. When it is obvious that the goals cannot be reached, don’t adjust the goals, adjust the action steps! Kegagalan hanya bermula apabila anda berhenti mencuba.

Bertenang. Jangan berputus asa. Tapi kalau sampai berada dalam keadaan putus asa juga, berjuanglah terus meskipun dalam keadaan berputus asa.


~ Dua bulan lepas aku pesan begini pada Dila yang tertekan dengan projek masternya. Rupanya hari ni kata-kata ni berguna untuk diri aku sendiri.

Huu… rasa nak nangis.

Dan manusia itu dijadikan bersifat lemah.
kata Hani pada 5:02 PM   0 reaksi
NIKMAT PALING PADAT
Tuesday, March 21, 2006
Segala yang dihasrat
tapi tak dapat
adalah nikmat
yang paling padat

[A. Samad Said, 1973]

Sedikit kecewa. Tak dapat apa yang dihasrat. Atau mungkin sebenarnya belum dapat. Usaha dan doa belum cukup kuat. Akan dapat. Mungkin. Bukan hari ini. DIA masih mahu uji. Aku akan tunggu. Kalau memang tersurat itu rezeki aku. Dan mungkin DIA mahu gantikan dengan sesuatu. Yang lebih baik. DIA lebih tahu. Sedang aku serba tidak tahu.

Ya Allah, aku akur ketentuan-MU.
kata Hani pada 1:31 PM   3 reaksi
SEKOMPLEKS ITUKAH IA?
Thursday, March 16, 2006
(entry kedua tentang 'hati dan perasaan' selepas entry berhabuk "DIA YANG TERLUKA HATINYA" Dis. 05)

Satu. Dua. Tiga. Empat.

Empat orang sahabat. Bercerita kepada aku. Mengadu.

Tentang apa?

Tentang cinta -kalau itu boleh dinamakan cinta.

Mengapa aku?

You are a good listener. Kata mereka. Oh, begitu ke?

-SATU-
Adli dan Dila, sahabat akrab aku. Kenal juga melalui aku. Secara tak sengaja, ketika Dila ‘dipaksa’ menemani aku untuk satu program universiti, yang turut disertai Adli. Tak sangka pula, diam-diam mereka main mata.

Masalah biasa, dihalang keluarga. Alasan, sempadan Geografi. Keluarga Dila di Kelantan, pantang benar terima orang luar. Terengganu pun sebolehnya tak mahu. Dan Adli, Perak. Dari dulu, gadis pantai timur out of list. Tapi bila terjumpa Dila, terbang melayang prinsipnya tentang beza budaya dan loghat bahasa. Kecoh pula lagi, Dila nak ditunangkan. Bukan dengan siapa-siapa, dua pupunya juga.

Wahai Adli, kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai. Betul-betul mahu, pergilah jumpa orang tua Dila. Jangan hanya mengeluh dari jauh.

-DUA-
Azni. Masih muda (muda la berbanding aku), sebaya Adik Ila. Kesayangannya pulang mengadap DIA. Langgar lari. Bukan sekali, tapi dua. Hingga jenazah bagai sudah tiada rupa. [Ada kisahnya dalam harian Metro minggu lepas].

Azni, biarlah dia pergi. Kita pun akan menyusul. Entah esok atau lusa. Caranya saja belum tahu lagi bagaimana. InsyaAllah akan hadir seseorang yang lebih baik untuk Azni mengikut perkiraan-NYA.

Hehe, macam bagus jer. Betul la, memang itu yang aku kata pada dia.

-TIGA-
Wati. Dulu makan hati bila boyfriendnya kata mahu kahwin dua. Kalau boleh nak tiga. Merayu-rayu agar Wati sudi terima dia. Janjinya, Wati yang pertama. Mahu keluarga besar, meriah katanya. Kata Wati pula, tak kuasa!

Dan sekarang, si Wati itu bercinta pula dengan duda muda. Bila namanya duda, cepat saja mahu mengheret Wati ke alam rumahtangga. Sedangkan Wati sendiri belum bersedia. Sakan aku ketawa. Kenapalah begini kisah cinta kau ya?

Kata Wati lagi, dia tak mintak semua ni. Dia mahu lelaki yang baik, soleh, menenangkan jiwa raga. Bukan tambah serabut kepala. Ketawa lagi aku. Tak mengapa, mungkin belum jumpa. Kalau mahu yang begitu, kita terlebih dahulu perlu begitu juga.

-EMPAT-
Semalam pula Izzah. Bercinta di alam maya. Saling cuba sedaya upaya mahu jaga, kerana kedua-duanya ‘orang agama’. Email hanya seminggu sekali untuk taaruf, tidak berbual di telefon kecuali urusan penting, dalam waktu yang sangat singkat. Dan sekarang mula keliru sendiri, benarkah jalan yang dipilih ini? Bercinta tanpa sah ikatan. Dia bimbang, kalau-kalau banyak mengheret kepada lagha- bila memikirkan dan membayangkan saat indah yang belum tentu tiba. Bukan maksiat zahir, tapi maksiat hati. Katanya mahu tarik balik yang lama-lama, undur semula kepada tanpa hubungan apa-apa, tapi tidak berdaya.

Yang ini aku tak tau nak komen apa. Dia sendiri lebih banyak ilmunya. Betul salahnya dia lebih tahu. Aku kata, kalau dah sedia, kawin saja. Dosa terhindar, pahala berganda. Haha, senangnya aku berkata-kata.

:: Biasalah, cinta tu fitrah manusia. Apatah lagi anak muda yang bergelora jiwanya. Kalau tidak, takkan famous forum di kampus-kampus seperti ‘antara cinta dan cita-cita’, ‘main-main cinta’, ‘petua mencari pasangan’ dan macam-macam lagi. Juga, tulisan Ustaz Maszlee Malik tentang ‘cinta anta anti’ di Majalah i keluaran Februari takkan dapat respon sedemikian rupa. Album-album In-Team pula taklah sold-out sekelip mata. Aku pula, cuma jadi pendengar setia. Nak beri pendapat entah bagaimana, sebab aku berada di situasi yang berbeza. Erk, berbeza ke?

:: Teringat keluhan seorang sahabat ketika kami sama-sama mengendalikan amali Biologi. ‘Aku ni hari-hari bangun subuh pukul 6.45. Nanti dapat bini pun jenis yang subuh 6.45 jugak agaknya’. Sahabat yang lain lantas berbisik perlahan, barangkali bimbang jatuh saham wanitanya; ‘habis aku ni yang subuh pukul 7 macamana? Dapat laki yang selalu subuh gajah jugak ke?’.

:: Whatever it is; in good times and bad times, I’ll be on your side for ever more. As you said, I’m a good listener. That’s what friends are for. ~kHa~
(Catatan panjang 13 Mac 2006. Jam 10.02 malam)
kata Hani pada 9:12 AM   7 reaksi
Terngiang Bunyi Kompang
Sunday, March 12, 2006
-TERIMA KASIH PEREMPUAN II-
Perempuan
Kaulah yang membina jalan
Untuk seorang lelaki bernama aku
Terima kasih perempuan
Memperkenalkan aku benih kasih
Di atas batas mesra
Di ladang bahagia
Kaulah yang memperkenalkan
Dedaun setia
Menghijau di musim perkasihan
Dan kaulah nanti yang terus mengutip
Dedaun itu dari berguguran
[Amiruddin Ali, Al-Islam April 1998]
Selamat berbahagia. Buat dua kenalan yang majlis bahagianya berlangsung semalam dan hari ini.

Dan Mazwan, ex-classmate yang payah untuk aku lupa, semalam sudah sah bergelar suami. Amanah bertambah dan tanggungjawab berganda. Tapi dalam masa yang sama senang juga mahu kaut pahala.

Tersenyum aku. Dua tahun sekelas, tingkatan 4 dan 5, dua tahun jugalah nakalnya mengusik aku tak pernah surut. Suka sangat bila wajah aku merona merah. Malu, dan sesekali menahan marah.

Dua puisi (baca: contengan tak berkualiti) aku, yg tercicir dari buku rujukan, pernah dia tampal depan kelas Matematik Moden. Mencetus ketawa Cikgu Muzahid dan kawan-kawan; apatah lagi bila siap ada yang deklamasikan. Aku lupa siapa pak badut deklamator yang loyar buruk tu.

Hmm, Mazwan. Selamat dah kau bina masjid ya. Heran betul, camne boleh advance dari aku nih?
kata Hani pada 11:15 AM   4 reaksi
PENONTON SETIA
Thursday, March 09, 2006
Aku menjadi penonton setia
Kemelut hidup manusia
Yang sering lupa pada asal keturunan
Dan tujuan ke mari

Aku menjadi saksi bisu
Tatkala menyaksikan kekejaman manusia
Yang sering lupa janji
Terhadap Penciptanya

Aku sering terhiris sendiri
Apabila memandang
Kemusnahan peradaban manusia

Kerana sesungguhnya
Di dalam alam manusia
Terlalu banyak haiwan terjelma
Tapi tidak ada manusia
Yang wujud di dalam alam haiwan

Itulah agaknya
Kenapa kita dijadikan
Dalam dunia yang berbeza…
[credit to: Pn Aliyah]


SATU

Seminggu dua ni Adik Ila tak habis-habis bercerita tentang apa yang dia belajar dalam kelas Akidah. Pasal Imam Mahdi, Nabi Isa, Dajal, Yakjuj wa Makjuj, daabbah dan bermacam peristiwa menjelang kiamat.

Ustaz dia pesan, kalau tau pasal tipu daya dajal ni, maka sebar-sebarkan. Itu yang dia semangat cerita kat aku dan kawan-kawannya tuh.

”Kak Long nak sangat pergi Turki. Tau tak sebahagian pengikut dajal tu asalnya dari Turki?” bebel Adik Ila.

Mana aku tau. Aku teringin nak pegi Turki bukan nak jumpa puak-puak pengikut dajal. Aku nak tengok Selat Bosphorus. Yang jadi saksi kepahlawanan dan kebijaksanaan Sultan Muhammad al-Fateh. Pemuda yang terserlah kepimpinannya dalam usia awal 20an. Itu jer..

DUA

Ada kawan bagi aku satu folder. Dah agak lama. Tapi aku baru bukak semalam. Ada gambar-gambar dan video pergolakan di Palestin. Gangguan emosi sekejap. Aku ni bukan berani sangat. Tengok MedikTV pun dan pucat muka. Meremang satu badan. Tapi masa sekolah dulu, Ustaz Asri tunjuk video Ambon dan Halmahera, semangat aku tengok.

Yahudi hilang akal normal. Benci orang jahat!

Sedih betul aku. Kenapa manusia boleh hilang sifat kemanusiaannya?

kata Hani pada 3:44 PM   4 reaksi
Tanda Perkasa
Thursday, March 02, 2006
Dalam sebuah hadis diriwayatkan daripada Ali r.a katanya: Rasulullah s.a.w mengutuk (melaknat) orang yang memakan riba, pemberi riba, saksi riba, penulis riba, pelukis tatu, orang meminta supaya dilukis tatu, orang yang enggan membayar zakat, pengambil upah cina buta dan suami yang mengupah cina buta. (Hadis Hasan, Riwayat Imam Ahmad dan Nasaie).‏

Masih lagi mahu berkisah tentang seorang mar’ah bernama Ana.

Kebelakangan ini, si Ana itu benar-benar terkenangkan seorang kawan. Yang sempat dia kenal cuma sebulan.

Awal pertemuan, insan itu perkenalkan dirinya sebagai Agung. Ana tidak tahu nama sebenarnya. Tapi Ana berkeras juga mahu panggil dia Azim. Rasa berat lidah mahu menggelarnya Agung.

Di kedua-dua lengannya, kiri dan kanan, terdapat bersusun-susun bekas tatu. Begitu juga di dagu dan belakang tapak tangan. Katanya itu lambang perkasa. Telinga kanannya bertindik dua.

Bekas ’samseng jalanan’ [itu gelaran yg Ana beri] yang kalau bergaduh senjatanya besi dan parang. Yang apabila dapat memikat perempuan dengan rupa dan lembut lidahnya, dan diperdaya untuk ’dijual’ ke Singapura, Thailand atau Filipina maka 2-3 ribu seorang sebagai pulangan. Yang tegar dengan kedegilan dan kekerasan, hingga digelar Agung oleh keluarga dan teman-teman.

Lebih empat tahun dia dalam dunianya. Hingga suatu ketika, hadir rahmat Allah, sudut gelap di hatinya bercahaya disuluh hidayah.

Walau diakui masih banyak yang kurang, memadai Azim itu berusaha istiqamah untuk sujud menyembah TUHAN lima waktu sehari semalam. Rajin membaca, rajin bertanya dan teguh dengan semangat mahu leburkan dirinya yang lama.

Cabaran bagi dia. Insan-insan di sekitarnya terlalu sedikit yang memelihara solatnya. Benar, kerana Ana juga kenal sebahagian besar dari mereka. Dan ‘rakan-rakan’ lamanya, masih ada lagi yang tidak mahu ‘lost contact’ dgnnya. Ana bimbang, kalau-kalau Azim kembali ke dunia lamanya.

Semoga TUHAN pandu dia untuk bersahabat dengan insan yang tepat.

Awalnya Ana pernah terlintas mahu kenalkan dia dengan beberapa sahabat. Zaki namanya. Seorang lagi Liyana. Mungkin dapat bantu dia meski tidak banyak. Tapi entah kenapa niat itu terkubur begitu sahaja. Ana tahu, DIA lebih arif dengan perancangan-NYA.

Penghujung Jun 2005. Kali terakhir mereka berjumpa. Ditemani ibu saudara Azim. Detik itu, hati Ana sedikit terusik. Mata Azim dilihatnya berkaca.

Sungguh Azim mengimpikan seorang wanita solehah sebagai suri hidupnya nanti. Begitu harapannya yang sempat disuarakan kepada Ana.

Ana kehilangan kata-kata. Lama. Sebelum akhirnya berpesan kepada Azim; apabila ke kedai nanti [Azim kerja di kedai menjual buku agama], luangkan seketika waktu untuk melihat tafsir ayat 26 Surah an-Nuur. Tafsir ayat yang sebenarnya cukup sebati dengan diri Ana sendiri. Ayat yang menjadi motivasi Ana sehingga kini.

Ana mengingatkan Azim, dan dirinya, bahawa paling utama mulakan dengan memelihara solat yang lima, kerana itu asasnya.

Sudah lebih 8 bulan sejak pertemuan terakhir itu. Entah kenapa hari ini Ana benar-benar teringatkan Azim. Barangkali kerana banyaknya nilai kehidupan yang Ana belajar dari perjalanan hidup pemuda itu. Kadangkala dalam gurauan, Ana akan menggelarkan Azim sebagai ’samseng jalanan pencen’ atau ’gangster insaf’. Harap anak muda itu tidak kecil hati. Seketika, kenangan itu buat Ana tersenyum sendiri.

ALLAH Ya Rahman, peliharalah dia setelah KAU sinari hatinya dengan cahaya hidayah-MU...

Nabi s.a.w bersabda: Sebaik sahaja Allah s.w.t menciptakan makhluk-Nya. Dia terus menulis dalam kitab yang berada di sisi-Nya di atas Arasy: Sesungguhnya rahmat-Ku mengatasi kemurkaan-Ku (Hadis Abu Hurairah r.a)
kata Hani pada 1:07 PM   2 reaksi

:: Tuan Rumah ::

Nama: Hani

Tinggal di
Pahang-Johor-Terengganu, Malaysia

Tentang saya:
Practical. Visual learner. Music and rhythm alert. Love colors, art and literature like crazy. Optimist. Loyal. Reliable. Creative. Daydreamer. Intuitive. Full of emotions. Intelligent. Comfortable with conversation and teamwork.

Baca lagi

Lukisan oleh: Daun Hijau
:: Entri Terkini ::
:: Entri Dulu-dulu ::
:: Rangkaian ::
© 2005 TERBANG TINGGI Tema: Tech Blue. Rekaletak: Isnaini dan Hani