
Nota: Jika anda baca entri ini (atau mana-mana entri yang seangkatan dengannya) untuk ulasan ilmiah, anda mungkin kecewa. Saya bukan ingin mengulas buku. Saya hanya sedikit bercerita tentang buku yang saya baca dan kaitannya dengan saya.
Awalan
Lebih sedekad lalu, ketika tersenarai sebagai pelajar terbaik Bahasa Melayu, saya dihadiahkan
‘Sungai Kasih’. Himpunan 17 buah cerpen dan 21 puisi pemenang Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank 1993. Di dalamnya terkandung puisi T. Alias Taib,
’Pembeli Masa Sudah’. Saya tak ambil kisah, sebagaimana tidak kisahnya saya pada 37 karya lain di dalamnya. Usia yang masih leka dengan Dongeng Rakyat Dunia, Siri Salma, Tujuh Penyiasat, Saidina, Sahibba,
rounders, galah panjang malah juga Power Rangers; menjadikan longgokan pemikiran dan laras bahasa di dalam
'Sungai Kasih' itu terlalu asing bagi saya.
Lebih setahun lalu, respon berbunyi
“macam puisi T. Alias Taib” pada salah sebuah sajak saya oleh seorang kenalan, telah memanggil kembali ingatan terhadap nama itu. Dan saya mula mencari-cari tulisan beliau semula.
Seberkas Kunci dan Saya
Bagi pemerhati, penggiat, mahupun peminat sastera, khususnya puisi, pasti sangat sebati dengan karya T. Alias. Saya, yang mula ketagih dengan diksinya, cuba mencari-cari semula antologi beliau. Saya temui
’Pasar Pengalaman’, tetapi tidak
’Pemburu Kota’ serta
’Seberkas Kunci’.
’Laut Tak Biru di Seberang Takir’ jauh sekali.
Tanpa saya duga, entri
Antologi Puisi lima bulan lalu, menjadi sebahagian asbab
’Seberkas Kunci’ menjadi milik saya tiga minggu kemudian. Terima kasih buat saudara Amir Hazlin a.k.a
Cikgu Rimanilzah di Perak yang sudi hadiahkannya bersekali dengan
’Mantera’ (Marzuki Ali). Cayalah cikgu! Dan terima kasih juga abang posmen, sebab buku tu sampai dengan selamatnya ke peti pos saya.
Ada Apa?
Antologi terbitan DBP (1985) ini memuatkan 93 puisi beliau yang dihasilkan sekitar tahun 1971-1983. Merupakan antologi kedua selepas
’Pemburu Kota’ (1978), jika saya tidak silap.
Simple, tanpa sebarang kata pengantar atau pengenalan. Hanya biodata ringkas di muka belakang. Seingat saya, terdapat tidak kurang dari lima puisi konkrit di dalamnya. Puisi bertajuk
’Di Parlimen’ yang dipenuhi tanda seru dan tanda soal buat saya senyum sendiri. Jika anda mahu baca kisah-hidup-di-sebalik-nama-wanita sebagaimana yang menjadi identiti penyair ini, anda tidak akan temui dalam antologi ini, kecuali satu iaitu
’Maimon 3’.
Yang Saya SukaTentunya idea beliau dan corak penyampaiannya melalui diksi-diksi yang dipilih. Luar biasa. Dan saya mencemburuinya. Membaca antologi ini juga, seolah melihat perkembangan penulisan beliau sepanjang tempoh lebih sedekad tersebut – zaman ibubapa saya masih menghabiskan persekolahan dan baru berkenal-kenalan. Dan pastinya antologi ini sangat bermakna kerana dihadiahkan oleh seorang kenalan, kenalan maya.
Yang Saya Kurang SukaAdakah? Barangkali tidak ada. Kecuali satu, tiada tercatat tarikh dan tempat puisi-puisi yang dihasilkan. Saya sedikit terkilan di situ. Sebab saya suka untuk tahu bila dan di mana setiap puisi yang saya baca itu dihasilkan.
AkhiranAntara yang meralatkan saya ialah tidak berkesempatan bertemu beliau. Beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 2004, ketika saya masih belum seperti sekarang – akan pergi ke mana sahaja yang terdaya untuk ilmu, persahabatan, mahupun persaudaraan. Beliau pergi ketika saya masih menuntut di selatan, dan sekarang, apabila saya tiba di Terengganu, yang ada hanya laut, langit, tanah dan bayu Seberang Takir yang pernah menyaksikan dewasanya seorang T. Alias Taib.
Saya kongsikan sebahagian dari satu puisi dalam antologi tersebut yang saya petik secara rawak. Tajuknya
’Kepada Allah’.
Allah
aku ingin menghampiri-Mu
bagai kapal pada pelabuhan
lindungi aku
bagai pelabuhan pada kapal
Allah
aku sujud pada-Mu
dalam kembara ini
aku adalah hujan
mencakar jendela-Mu
[T. Alias Taib, 1979]