TERBANG TINGGI

Kau ingin tahu terbang tinggi apa pengertiannya. Kau perlahan-lahan melangkahkan kaki. Cuba mendaki sejauhnya langit yang tinggi. Seperti mereka yang telah merasa terbang tinggi apa pengertiannya.

 
:: Lensa ::

Menanti Di Barzakh


ku merintih.. aku menangis..
ku meratap.. aku mengharap..
ku meminta dihidupkan semula
agar dapat kembali ke dunia nyata

perjalanan rohku
melengkapi sebuah kembara
singgah di rahim bonda
sebelum menjejak ke dunia
menanti di barzakh
sebelum berangkat ke mahsyar
diperhitung amalan
penentu syurga atau sebaliknya

tanah yang basah berwarna merah
semerah mawar dan juga rindu
tujuh langkah pun baru berlalu
seusai talkin bernada syahdu
tenang dan damai di pusaraku
nisan batu menjadi tugu
namun tak siapa pun tahu
resah penantianku

terbangkitnya aku
dari sebuah kematian
seakan kudengari
tangis mereka yang kutinggalkan
kehidupan disini
bukan suatu khayalan
tetapi ia sebenar kejadian

kembali roh kembali
kembalilah ke dalam diri
sendirian sendiri
sendiri bertemankan sepi
hanya kain putih yang membaluti tubuhku
terbujur dan kaku
jasad di dalam keranda kayu

ajal yang datang di muka pintu
tiada siapa yang memberitahu
tiada siapa pun dapat hindari
tiada siapa yang terkecuali
lemah jemari nafas terhenti
tidak tergambar sakitnya mati
cukup sekali tak sanggup
untuk ku mengulangi

jantung berdegup kencang
menantikan malaikat datang
menggigil ketakutan
gelap pekat dipandangan
selama ini diceritakan
kini aku merasakan
di alam barzakh jasad dikebumikan

ku merintih aku menangis
ku meratap aku mengharap
ku meminta dihidupkan semula
agar dapat kembali ke dunia nyata...

Lagu: Fadzli Far East
Lirik: Ito Lara

Merah Saga


saat langit berwarna merah saga
dan kerikil perkasa berlarian
meluncur laksana puluhan peluru
terbang bersama teriakan takbir

semua menjadi saksi
atas langkah keberanianmu
kita juga menjadi saksi
atas keteguhanmu
ketika yahudi-yahudi membantaimu
merah berkesumba di tanah airmu
mewangi harum genangan darahmu
membebaskan bumi jihad Palestina
perjuangan telah kau bayar dengan jiwa
syahid dalam cinta-Nya

:: Jejak Kalian ::
:: Karya Pilihan ::

Anak Pelarian

sejak dilahirkan dari rahim ibu
mereka belajar
di sekolah hidup menguji
sengketa keliling
mendewasakan mereka
kepayahan adalah
permainan hari-hari
khemah itu adalah
mimpi yang sukar
malam yang memanjang
diisi dengan kelaparan
fajar subuh adalah harapan
sebuku roti
penyambung nyawa yang
semakin genting

::Sahrunizam Abdul Talib::
::Mingguan Wanita::
::1 Mac 2002::

:: Jumlah Kunjungan ::

Free Web Site Counter

sedang membaca

:: Tikaman Madah ::

Menjelang malam, pernahkah kau pasang telinga di dinding jarang pondok petani sebelum dihembusnya pelita derita. Pemimpin; kau cuma bermain kata-kata.

::kemakmuran::
oleh: Anbakri Haron

BERAKIT KE HULU
Wednesday, March 28, 2007
Aku luangkan masa lebih sejam tadi, untuk jumpa sorang pensyarah politeknik yang berminat nak buat master (by research) dalam bidang yang aku buat sekarang ni. Bila kaji background dia, rasanya dia ok. Diploma Kejuruteraan Kimia dari UTM. Kemudian sambung belajar di oversea. Ada master dalam Pendidikan Teknikal. Dan sekarang nak ambil master kedua dalam Kejuruteraan Alam Sekitar. Dengan beza usia sekitar 10 tahun, aku percaya pengalaman dan pengetahuan dia jauh lebih baik dari aku. Insyaallah lepas ni kami akan jadi rakan sekerja.

Cuma aku perhatikan ada sesuatu yang boleh diperbaiki pada dia (mungkin pada aku juga). Aku rasa kamus hidup dia penuh perkataan bersifat negatif. Boleh ke ni, macam susah je, dia teruk ke, saya memang malas, mesti dia amik saya jadi student sebab dah takde orang lain dah, saya mana reti benda-benda ni, kalau failed nanti kena reject ke, susahnya banyak sangat nak kena baca ni. Dan sebagainya.

Dan aku, sangat geram mulanya. Tapi bila fikir balik, aku tau dia mampu, berdasarkan pencapaian-pencapaian dia sebelum ni. Cuma cara berfikir dia sedikit mengganggu aku.

Ok la. Stop dulu. Hmm, tadi baru dapat arahan, ke Kuala Lumpur esok. Ekspo teknologi di PWTC. Tiket aku belum cari lagi ni.
kata Hani pada 5:32 PM   2 reaksi
TUAN PRESIDEN
Tuesday, March 20, 2007

Dia melihat suatu ‘kekosongan’, sesuatu yang tidak lengkap, pada peta Amerika itu. Tiba-tiba muncul di kepala Magan satu lagi idea yang ’gila’!

”Tidak mungkin...” kata semua orang.

”Kita tidak mahu dijajah lagi...” kata semua orang.

”Kenapa mahu menjual kemerdekaan kita?” kata semua orang.

Idea barunya memang kreatif (baca: gila). Dia mahu memohon kepada negara USA supaya Malaysia diterima sebagai negeri yang ke-52 dalam persekutuan negeri-negeri Amerika (USA)!

Petikan cerpen ’Tuan Presiden’ oleh Irwan Abu Bakar. Aku leka membaca cerpen ni. Pada aku, penulisnya sangat kreatif. Dan ada satu lagi cerpen (atau lebih tepat fragmen novel) yang aku suka. ’Kamu Tidak Patut Menampar Leher Saya’ oleh Hafez Iftiqar.

’Tuan Presiden’ boleh kamu baca dalam majalah Sastera.Net edisi ke-3. Dan ’Kamu Tidak Patut Menampar Leher Saya’ pula, kamu tunggu novel itu terbit, kemudian boleh pinjam dan baca, jika mahu, kalaupun tidak mahu membelinya :)
kata Hani pada 4:32 PM   5 reaksi
UNDI
Sunday, March 18, 2007
Who is the most suitable person to look after a woman give birth (dlm pantang)?
a) own mum who still working but live nearer
b) mum in law who not working but live far far away


Itu SMS yang aku dapat dari Kak ID, ex-roomate aku zaman study kat UTM dulu. Pagi-pagi buta masuk kotak inbox aku.

Aku reply; vote for B! Hehe..
kata Hani pada 8:23 PM   3 reaksi
SEDIKIT CATATAN TENTANG AKSES 2
Thursday, March 15, 2007
10-12 Mac 2007 aku di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan. Sebagai fasilitator Akademi Sastera Siber (AKSES) 2 anjuran esastera.com, DBP dan kerajaan negeri Kelantan.

Sembilan fasilitator terlibat; aku, as-Syramy, Cikgu Ariff, Sdr Kale Tupoo, Ruzaini Che Harun, Zulfiqar, Ilhami, Naimisa Yusof dan Salman Sulaiman. Seramai 92 peserta dibahagikan kepada 9 kumpulan, yang dinamakan mengikut nama sasterawan negara. Dan aku diamanahkan membimbing kumpulan Keris Mas.

Tugas pembahagian peserta diserahkan kepada aku. Dan dalam kalut-kalut mengejar masa, selesai juga, dengan bantuan Zulfiqar. Waktu tu jugalah seorang wanita menghampiri kami di meja urusetia.

Dia mahu anak dia tarik diri, katanya. Ada masalah ke, soalku. Tak dapat sebilik dengan budak-budak maahad. Aku kata, soal penempatan bukan masalah. Anaknya boleh saja sebilik dengan peserta dari sekolah lain pun. Dia menolak dengan lembut. Dia lebih suka anaknya tarik diri, berbanding sebilik dengan ’budak-budak’ yang dia tak tahu latar belakang, yang tak tentu hala.

Kalau macam tu, biar anak akak sebilik dengan saya” cadang aku, dalam dihimpit masa menyelesaikan pembahagian peserta. Kebetulan, tiada fasi perempuan lain untuk tinggal bersama aku di chalet. Dia diam, pandang aku. ”Akak boleh percayakan saya, insyaallah” lanjut aku. Dan dia setuju. Hehe, nasib baik dia setuju. Tandanya, aku lepas ’piawai’ untuk jadi teman sebilik anaknya. Kalau tidak, sia-sia, malu aku :p

Macam ni la ibu yang baik. Perhatikan siapa yang jadi kawan-kawan anaknya. Kalau nak cari isteri, kena cari yang macam ni”. Zulfiqar bersuara, ketika wanita itu berlalu untuk memanggil anaknya.

Saya akan jadi isteri dan ibu yang macam tu, malah lebih baik lagi, insyaallah”. Kataku perlahan, sekadar didengar Zulfiqar. Entah sampai atau tidak ke pendengaran Naimisa, Ilhami dan Salman yang juga ada di situ.

Dia datang semula bersama si manis, Rabiatul Adawiyah, dan aku serta ibu itu bersalaman setelah bertukar nombor telefon. Wanita itu berlalu dengan senyum, dan ketika itu aku rasakan satu tanggungjawab diletakkan di bahu aku – memastikan Rabiatul Adawiyahnya terjaga.

Banyak pengisian menarik melalui bengkel dan LDK sepanjang program 3 hari itu berlangsung. Yang turut diwarnai dengan kehadiran Prof Dr Irwan Abu Bakar (pengasas esastera), Mohammad Daud Mohammad (Ketua 1 KALAM), Abham TR (Ketua 1 PUSPA), Abdul Hadi Yusoff (PPK), SN A. Samad Said, YB Abdul Fattah Mahmud serta Menteri Besar Kelantan, YAB Nik Aziz Nik Mat.

Dan sajak aku, ”Kuntum Rindu Yang Kausemai” terbit di Sastera.Net Edisi 3; setelah ”Putih al-Mulk” di Edisi Pertama dan ”Dibakar Semangat Abdullah” dalam Edisi Kedua.

:: Kepada adik-adik kumpulan Keris Mas; Safuan yang suka mengusik, Syazrin yang matang dan suka bergurau, Hisyam jejaka maahad gemar tersenyum berbanding berkata, Syuhaina yang minat deklamasi, Shikin yang banyak idea, Rabiatul Adawiyah yang malu-malu, Azida yang manja, Haziani yang paling bongsu dan Siti Fatimah yang sering diusik Safuan. Harap terus bersama kami, meskipun selepas AKSES2 berakhir.
kata Hani pada 11:49 AM   0 reaksi
DRAMA SEBABAK
Wednesday, March 07, 2007
~Opie rasa tersisih bila Adif kenal Erika. Huhu~

Di bilik Sofia (Opie). Opie tengah sedih-sedih. Suzana-the-pinky-girl dok tepi katil Opie, dengan muka penuh concern.

Suzana : Opie, I dengar you nak pergi PGL dengan Adif dan Erika. Betul ke?
Opie : Haah.
Suzana : Sebagai kawan, boleh tak I nasihat you.. You jangan pergilah..
Opie : (diam)
Suzana : Sorrylah, I kena cakap benda ni. You dengan Adif is over. Lagi you cuba kawan dengan Adif dan Erika, lagi remuk hati you.
Opie :Tapi dia kawan aku.
Suzana : You all tak pernah berkawan. You all lebih daripada kawan. Bila you dah lintas garis persahabatan tu, susah nak ke belakang.
Opie :Tapi dia tempat aku mengadu. Dan aku tempat dia mengadu.
Suzana : Itu dulu, Opie. Sekarang Adif dah ada Erika.
Opie : (sayu habis, menahan rasa dalam dada)

Ini petikan dari episod ke-13 drama Dunia Baru musim kedua. Antara babak dalam drama Melayu yang aku ingat sangat. Kenapa tah :p

Bagi yang tak pernah berada di tempat Opie, mungkin akan salahkan dia. Layan perasaan sangat buat apa. Banyak lagi lelaki lain boleh buat kawan. Tapi banyak macamana pun, tentu tak sama dengan yang satu itu, kan?

Tapi dalam benda-benda macam ni, pada aku la, sebaiknya, jangan mulakan. Bila Tuhan dah letak guide pergaulan antara lelaki dan perempuan, tentu ada tujuannya. Kalau dah jadi cam Opie tu, syaitan akan tolong nyanyi-nyanyi lagi kat tepi telinga, kononnya he’s the one and only guy yang boleh faham kamu. Dan kamu, akan rasa sangat kehilangan. Kononnya.

Aku tahu, sebab aku pernah lalu benda macam tu, dulu. Dulu-dulu. Bila my ’Adif’, berkenalan dengan ’Erika’, yang juga kawan aku. Cuma berbanding Opie, rasanya aku realistik sikit la. Hehe. Sebab aku percaya, antara aku dan 'Erika'nya tu, masing-masing punya keistimewaan sendiri, in our own way.

:: Maafkan aku untuk entri tak mengembangkan minda ni. Eheh.
kata Hani pada 5:26 PM   2 reaksi
JANGAN PERNAH MENGHILANG
Monday, March 05, 2007

“meh pandang langit kita tengok bulan sama-sama.. :)”

Aku suka bulan. Suka sangat. Sangat-sangat. Malam tadi adalah malam 15 Safar, dan bulan penuh. Cantik. Terang. Aku terpaku. Subhanallah.

Sehari dua ni aku kerap terfikirkan tentang keberkatan masa dan usia. Kerap juga masa yang aku ada, gunanya untuk sesuatu yang di luar kewajipan aku. Layan benda-benda tak penting. Ada kenalan aku tak dengar pun nasyid-nasyid pop, Siti Nurhaliza dan yang seangkatan dengannya. Lagha katanya. Aku? Siap layan Jikustik lagi. Jiwang tu. Tapi memang aku suka sangat Jikustik. Hehe, jangan marah.

“meh pandang langit kita tengok bulan sama-sama.. :)”

Aku tak tahu benar atau tidak; bahawa tiada istilah ’persahabatan’ antara lelaki dan perempuan. Aku tak ada jawapan. Cuma yang boleh aku kata, ya, benar, aku punyai senarai sahabat lelaki, yang agak akrab. Dan memang kami kenal, berkawan, dan bergerak atas satu minat dan kecenderungan yang sama, serta berkongsi prinsip serta rasa tanggungjawab yang serupa. Tak lebih dari itu (buat masa ni, begitu).

Malah aku sangat hargai kewujudan mereka.

Terbaru, pertemuan kami di Melaka, 23-25 Februari lalu. Kami, 12 orang, hadir sebagai fasilitator dan membantu urusetia bagi satu program anjuran sebuah kelab berasaskan kesukarelawanan dari UTM, tempat kami bertapak dulu.

Paling indah, bila kami berkumpul dan berkongsi cerita tentang kerjaya. Kebetulan pula, lebih separuh kami sekarang adalah jurutera.

Terkenang perjalanan persahabatan kami. Kalau dulu topik perbualan tak lari dari assignment, kuliah, jadual mengajar hujung minggu, perancangan aktiviti kelab, final year project dan yang seumpamanya. Kali ni sudah cerita kerja-kerja pejabat dan site, basic gaji dan elaun, better offer dari company lain, dan tak terkecuali soal teman hidup, berkeluarga, di mana mahu settle-down. Juga berkongsi khabar gembira yang sudah bertunang dan berkahwin, serta yang bakal menimang cahaya mata. Betapa terlalu pantas masa berlalu.

Oh, tak bermakna kami tak peduli soal lain. Isu mahasiswa, masyarakat, negara, dunia. Selain dari apa yang aku nyatakan di perenggan atas, apa yang kami lakukan, lalui dan raih sepanjang tempoh bersahabat, cukup kami dan Tuhan yang tahu. Elok begitu.

“meh pandang langit kita tengok bulan sama-sama.. :)”

Sebahagian dari satu SMS yang aku terima jam 11.11 malam. Senyum. Doa sungguh-sungguh dalam hati, moga terpelihara jalinan ni. Dan moga hati kami bersinar terang dengan cahaya hidayah-Nya, sebagaimana rembulan yang terang di dada langit sepanjang malam tadi.
kata Hani pada 5:57 PM   0 reaksi

:: Tuan Rumah ::

Nama: Hani

Tinggal di
Pahang-Johor-Terengganu, Malaysia

Tentang saya:
Practical. Visual learner. Music and rhythm alert. Love colors, art and literature like crazy. Optimist. Loyal. Reliable. Creative. Daydreamer. Intuitive. Full of emotions. Intelligent. Comfortable with conversation and teamwork.

Baca lagi

Lukisan oleh: Daun Hijau
:: Entri Terkini ::
:: Entri Dulu-dulu ::
:: Rangkaian ::
© 2005 TERBANG TINGGI Tema: Tech Blue. Rekaletak: Isnaini dan Hani