TERBANG TINGGI

Kau ingin tahu terbang tinggi apa pengertiannya. Kau perlahan-lahan melangkahkan kaki. Cuba mendaki sejauhnya langit yang tinggi. Seperti mereka yang telah merasa terbang tinggi apa pengertiannya.

 
:: Lensa ::

Menanti Di Barzakh


ku merintih.. aku menangis..
ku meratap.. aku mengharap..
ku meminta dihidupkan semula
agar dapat kembali ke dunia nyata

perjalanan rohku
melengkapi sebuah kembara
singgah di rahim bonda
sebelum menjejak ke dunia
menanti di barzakh
sebelum berangkat ke mahsyar
diperhitung amalan
penentu syurga atau sebaliknya

tanah yang basah berwarna merah
semerah mawar dan juga rindu
tujuh langkah pun baru berlalu
seusai talkin bernada syahdu
tenang dan damai di pusaraku
nisan batu menjadi tugu
namun tak siapa pun tahu
resah penantianku

terbangkitnya aku
dari sebuah kematian
seakan kudengari
tangis mereka yang kutinggalkan
kehidupan disini
bukan suatu khayalan
tetapi ia sebenar kejadian

kembali roh kembali
kembalilah ke dalam diri
sendirian sendiri
sendiri bertemankan sepi
hanya kain putih yang membaluti tubuhku
terbujur dan kaku
jasad di dalam keranda kayu

ajal yang datang di muka pintu
tiada siapa yang memberitahu
tiada siapa pun dapat hindari
tiada siapa yang terkecuali
lemah jemari nafas terhenti
tidak tergambar sakitnya mati
cukup sekali tak sanggup
untuk ku mengulangi

jantung berdegup kencang
menantikan malaikat datang
menggigil ketakutan
gelap pekat dipandangan
selama ini diceritakan
kini aku merasakan
di alam barzakh jasad dikebumikan

ku merintih aku menangis
ku meratap aku mengharap
ku meminta dihidupkan semula
agar dapat kembali ke dunia nyata...

Lagu: Fadzli Far East
Lirik: Ito Lara

Merah Saga


saat langit berwarna merah saga
dan kerikil perkasa berlarian
meluncur laksana puluhan peluru
terbang bersama teriakan takbir

semua menjadi saksi
atas langkah keberanianmu
kita juga menjadi saksi
atas keteguhanmu
ketika yahudi-yahudi membantaimu
merah berkesumba di tanah airmu
mewangi harum genangan darahmu
membebaskan bumi jihad Palestina
perjuangan telah kau bayar dengan jiwa
syahid dalam cinta-Nya

:: Jejak Kalian ::
:: Karya Pilihan ::

Anak Pelarian

sejak dilahirkan dari rahim ibu
mereka belajar
di sekolah hidup menguji
sengketa keliling
mendewasakan mereka
kepayahan adalah
permainan hari-hari
khemah itu adalah
mimpi yang sukar
malam yang memanjang
diisi dengan kelaparan
fajar subuh adalah harapan
sebuku roti
penyambung nyawa yang
semakin genting

::Sahrunizam Abdul Talib::
::Mingguan Wanita::
::1 Mac 2002::

:: Jumlah Kunjungan ::

Free Web Site Counter

sedang membaca

:: Tikaman Madah ::

Menjelang malam, pernahkah kau pasang telinga di dinding jarang pondok petani sebelum dihembusnya pelita derita. Pemimpin; kau cuma bermain kata-kata.

::kemakmuran::
oleh: Anbakri Haron

KETAHUILAH
Sunday, April 22, 2007
Bahawa saya sangat sibuk seminggu dua kebelakangan ni. Dan seminggu dua yang akan datang.
kata Hani pada 2:57 PM   3 reaksi
HURUF-HURUF
Saturday, April 14, 2007
Aku benci orang lupa daratan. Benci. Aku benci orang yang nak sorok itu sorok ini dari aku. Benci. Padahal bukan aku tak tahu pun. Benci.

Bukan itu yang aku nak cerita sebenarnya (mengambil ayat Drirwan).

Hari lahir aku lambat lagi. Tapi ada satu 'hadiah besar' dah sampai terlebih awal. Sangat indah. Tersenyum-senyum aku. Hadiah yang akan abadi sepanjang hayat.

Bukan itu juga yang aku nak cerita sebenarnya.

Dalam sesetengah keadaan, aku kerap ditanya, kenapa memilih untuk jadi penulis. Aku senyum, diam. Sebenarnya aku nak jawab; manusia mati, tapi hasil karya takkan mati. Lihat Ibnu Kathir, Sayyid Qutb, Shakespeare, Chairil Anwar, Pramoedya, Usman Awang, T. Alias dll.

Kamu tahu? Imam al-Ghazali menulis lebih banyak berbanding waktu dia tidur. Dan kamu tahu? Dia tak menulis yang jiwang-jiwang. Yang melayan perasaan tak keruan. Atau apa-apa aktiviti peribadi yang entah apa-apa. Dia menulis sesuatu yang membangunkan jiwa.

Tahu siapa Imam Hassan al-Banna? Ingat apa katanya? ’Kewajipan manusia melebihi masa yang ada’. Jadi dengan kewajipan yang sedia banyak tu, untuk apa menambah satu kewajipan lagi – berblog yang entah apa-apa misalnya, atau bercinta tak tentu hala. Bukankah setiap saat usia akan dipersoalkan di akhirat nanti, tentang bagaimana ia digunakan?

Oh, usah terasa. Aku berkata pada diri sendiri. Ya, itulah yang aku nak cerita sebenarnya.
kata Hani pada 4:21 PM   2 reaksi
KALAU BANYAK MASA
Wednesday, April 11, 2007

Rajin membaca? Nah, silakan. Tajuknya ”Mentari Hati Huda”. Mahu komen juga boleh, tidak di sini, di emel atau YM pun ok.

”Kau buat apa ni?” Dia diam, tidak mengendahkan pertanyaan kamu, sambil terbongkok-bongkok di sudut dapur mengupas sebutir nanas muda bersaiz sederhana. Di sisi kiri, di tepi sinki, botol Coca-cola 1.5 liter yang sudah luak hampir separuh. Juga berpuluh-puluh pil putih yang kamu yakini paracetamol. ”Kau buat apa ni?” Kamu mendekat setelah dia tidak mengendahkan pertanyaan kamu tadi.

”Jangan sibuk!” Dia berpaling sekilas dengan pisau pemotong nanas hampir-hampir merobek perut kamu. Astaghfirullah. Kamu urut dada. Dia tertegun seketika, sebelum gopoh menelan kepingan nanas yang dipotongnya tadi. Kamu kaku. Dia capai pula butir-butir paracetamol. Ditelan sekaligus dengan Coca-cola yang diteguk terus dari botolnya. Kamu pasti, amat-amat pasti ada sesuatu yang tidak kena di sini. Kamu segera merampas lantas mencampak baki pil-pil putih itu melalui tingkap ke belakang rumah. Dia berpaling dengan dada berombak, juga wajah serta mata yang menyala marak.

”Kau gila? Kau buang semua tu buat apa?” Dia mendekat. Kamu sedikit kaget. Rambut panjang beralun yang tidak terurus dan mata sembab kemerahan itu bukan kepunyaan Huda yang kamu kenal selama ini. ”Kau pun sama macam semua yang lain! Jahat, pentingkan diri!” Kamu mengucap panjang ditengking-tengking tanpa hujung pangkal.

”Yang kau telan semua tu buat apa? Kau nak mati?” Kamu pula tinggi suara. Demi Tuhan, ini pertama kali suara kamu setinggi ini apatah lagi terhadap Huda, gadis manja lemah-lembut, yang sangat akrab dengan kamu sejak tahun pertama mengikuti kuliah perakaunan di sini, di IPT di timur semenanjung ini. Kamu pandang ke sinki. Paracetamol, pisau, Coca-cola, akhbar lama, nanas, cawan, durian, alat penguji kehamilan. Segalanya bersepahan. Alat penguji kehamilan? Kamu toleh sekali lagi. Paracetamol, nanas dan Coca-cola? Darah berebutan menyerbu wajah.

”Kau memang hilang akal la Huda! Ni apa ni? Hei, kalau tak mahu mati sorang-sorang, kau heret la jantan keparat tu sekali. Nak bunuh budak dalam perut tu buat apa? Dah la buat kerja gila, berzina. Dah tak sabar-sabar nak masuk neraka?” Marah kamu menggila dengan butir kata yang laju bagai peluru. Penampar terasa ringan mahu melayang ke wajah redup itu. ”Kalau kau baik sangat, pergi la masuk syurga sorang-sorang!” Dia meluru ke bilik menghempas daun pintu yang getarnya mahu mencabut jantung kamu.

***

Kamu bersimpuh di sejadah menatap al-Quran di pangkuan. Sunyi. Hanya ada suara putar kipas yang ligat, seligat kecamuk fikiran kamu. Huda masih berkurung sejak pertengkaran kalian lewat petang semalam. Sejak itu juga, sehingga dinihari ini, kamu tidak dapat tidur lena. Memang kamu sangat marah, atau sebetulnya amat kecewa dengan tindakan Huda. Mustahil Huda tidak tahu bahawa zina itu adalah dosa besar. Dosa zina boleh menutup gerbang keberkatan usia. Menghilangkan seri wajah orang beriman. Malah menyempitkan pintu rezeki. Jika menurut hukum Tuhan, Huda boleh disebat seratus kali. Lelaki itu juga. Seratus kali. Sudah digariskan Tuhan seawal ayat kedua surah an-Nuur. Jelas dan nyata. Tapi ah, umat sekarang sudah tidak sama dengan para sahabat yang sangat patuh nasihat Nabi dan taat ajaran al-Quran. Kamu mengeluh sesal.

Bacaan kamu terhenti pada ayat ke-33. Ayat yang menganjur disegerakan perkahwinan bagi yang mampu dan pesanan supaya menjaga kesucian diri bagi yang belum mampu berkahwin. Betapa al-Quran adalah sebenar-benar pedoman yang sempurna bagi yang mahu mengerti. Huda, apakah kamu sudah lupa? Bukankah kita sama-sama tekun mendengar kuliah tafsir Ustaz Husaini di surau al-Hidayah saban minggu? Malah kita tak pernah sekalipun terlepas perbincangan ayat-ayat Surah an-Nuur ini. Oh, Tuhan.

Sebentar tadi, kamu tenggelam dalam sujud yang panjang. Kamu mohon sungguh-sungguh dari Tuhan dalam sujud terakhir itu, moga lembut hati Huda untuk kembali ke jalan-Nya. Bersungguhnya kamu kali ini, tidak ubah seperti kesungguhan kamu sepanjang Ramadan lalu, tatkala merayu-rintih pada Tuhan mohon dipertemukan malam al-Qadar-Nya. Kamu tahu, doa tulus sahabat tanpa pengetahuan sahabatnya mudah dimakbul Tuhan. Seperti juga doa anak yang soleh, atau doa pahlawan tatkala berkecamuknya perang, para musafir dan juga doa ibubapa kepada anaknya. Tambahan pula kamu kini di sepertiga terakhir malam, waktu mustajabnya doa. Kamu tidak akan siakan kesempatan ini.

”Maafkan aku, Huda”. Sebak memenuhi dada. Saat ini, ingin kamu memeluknya erat lantas membisikkan kata-kata itu. Sebetulnya kamu diselimuti rasa bersalah. Sesal teramat atas keterlanjuran kata-kata juga sikap baran kamu petang semalam. Kamu seharusnya lebih rasional saat Huda diheret emosional. Ah, hakikatnya apa yang dilakukan Huda benar-benar melumpuhkan waras kamu. Sehingga apabila dibakar api amarah, kamu lupa untuk menyiramnya dengan menyebut nama Allah.

Huda sahabat yang hebat. Ringan tulang membantu teman-teman. Pintar dalam pelajaran. Akrab dengan al-Quran. Juga teman munajat di sepertiga malam. Kamu masih ingat janji kalian untuk sentiasa jadi manusia beruntung. ”Rugi sangat kan siapa yang tak merasa indahnya nikmat tahajjud”. Begitu tutur Huda kepadamu usai kuliah Ustaz Husaini yang membicarakan ayat 15-18 dari Surah az-Zariyat, tentang kebaikan dan rahmat Allah bagi mereka yang menghidupkan ibadah di sepertiga terakhir malam. Kata Ustaz Husaini lagi, manusia biasanya cepat tersedar apabila hilang nikmat kekayaan, kesihatan atau kecantikan. Tapi tak ramai yang sedar apabila ditarik Allah nikmat untuk merasai manisnya iman dan indahnya bermunajat kepada Tuhan. ”Memang pun kan? Macam kita”. Ulah Huda buat kamu tertawa.

***

”Kau berubah benar sejak kenal Hilal”. Huda sekadar senyum. ”Hati-hati berhubung dengan lelaki ajnabi. Bimbang kau terperangkap mainan perasaan”. Itu bukan pesanan pertama seingat kamu. Dan Huda seperti biasa tiada reaksi melainkan tersenyum. Atau paling tidak akan berkata ”Jangan risau, aku tahu jaga diri”. Hanya mahu menyedap hati kamu barangkali.

Kamu cukup kenal Hilal. Lelaki bermulut manis yang mengumpan gadis bermodal kata-kata dan rupa. Bukan tak pernah kamu digoda. Hanya kamu yang tak mahu. Malas bercinta tidak tentu hala. Kamu arif perasaan sendiri. Kalau sudah dijangkiti wabak angau, mulalah tidak keruan sepanjang hari. Ujian Tuhan datang dalam pelbagai bentuk termasuklah melibatkan hati dan perasaan. Sebelum terjebak, kamu memilih memagar diri. ”Tak rajin nak menambah tanggungjawab yang tak perlu” kata kamu. Tak sangka pula Hilal beralih kepada Huda. Kamu malas membuka cerita. Manalah tahu, Hilal serius mahu merancang hidup bersamanya.

”Aku nak pergi Genting weekend ni. Dengan Hilal. Sepupu dia ikut. Dua orang, perempuan”. Huda sudah sampai tahap itu. Kamu ulang kali katakan padanya, usah mula memberi ruang kepada kemungkaran. ”Aku sayang dia. Kau tak di tempat aku, kau tak faham.” Jawabnya mudah. Dan Huda, perlahan-lahan mula berubah. Mulanya sekadar tidak bersarung kaki. Kemudian belajar menyarung jeans. Dari tunic separas lutut, beransur-ansur hinggalah blouse singkat. Tudung yang dulunya menabir dada, mula digubah pelbagai gaya hingga jelas kelihatan bentuk-bentuk yang tidak wajar tertera.

Kamu tak terkata. Malu juga pada Nabi, tak mampu mencontohi baginda menyeru yang makruf dan mencegah yang mungkar. Kamu hanya mampu berdoa mohon Huda normal semula. Disampuk angau cinta buta payah juga jadinya. Huda punyai asas agama yang baik. Dengan izin Tuhan, kamu yakin dia akan kembali ke pangkal jalan.

Kamu ambil peluang untuk memperingat diri. Mana tahu jika Huda kembali berubah, dia akan jadi jauh lebih baik dari kamu hari ini. Seperti Umar yang menguburkan anak perempuannya hidup-hidup di padang pasir kala zaman jahiliyah, namun tergolong sepuluh sahabat yang dijamin syurga bila disapa hidayah. Juga mengambil iktibar kisah ketua penyamun bernama Fudhail bin Iyadh. Setelah disinari cahaya hidayah, beliau tersenarai di kalangan wali Allah.

***

Muhasabah dinihari itu menemukan hikmah atas apa yang berlaku. Usai solat Subuh dan wirid ma’thurat ringkas, kamu bingkas menuju ke bilik Huda. Kamu berjanji pada diri, mahu jadi temannya kala susah dan senang. Juga menuntunnya kembali menyusur denai Ilahi. Kamu mahu jadi sahabat yang meneguh, bukan meruntuh. Semoga Huda belajar dari sejarah hitam hidupnya. Seterusnya menjadi lebih baik dari Huda yang dulu.

Dalam derap langkah berbekal bismillah, kamu mewiridkan ayat-ayat terawal surah Thaha. Semoga dengan izin Tuhan, kalimah itu mampu melembut hati Huda sebagaimana ia mampu melentur kerasnya hati Umar al-Khattab, sehingga akhirnya terdorong memilih Islam dan menjunjung kebenaran.

Pagi ini kamu mahu mengajak Huda menyusur putih pasir pantai, berbual hati ke hati, sambil menyaksikan matahari menyibak tirai hari dan menghangat dingin pagi. Semoga biasan indah warna mentari di dada Laut Cina Selatan bisa mencerah kembali kelam hati seorang teman. Huda, ayuh berlari ke dalam diri, kita raih kasih dan ampunan Ilahi.

© Hani. March 2007.

kata Hani pada 1:54 PM   0 reaksi
PULANG
Monday, April 02, 2007
Sebenarnya nak update dua tiga hari lepas. Tapi internet waktu tu terkedek-kedek. Malas aku nak tunggu.

Jumaat-Ahad lepas aku di KL. Bermalam di Hotel Legend atas urusan separa rasmi di PWTC. Malaysian Technology Expo (MTE). Tahun lepas aku hadir sebagai peserta, dan projek kami pulang dengan pingat gangsa. Tahun ni aku hadir atas kapasiti pemerhati.

Booth UMT (sebelum ni KUSTEM) berdepan dengan booth UTM. Sempat juga jumpa dan bersembang dengan kenalan-kenalan lama yang pernah aku kenal masa giat berprogram dulu, yang masing-masing makin hebat nampaknya. Juga seorang pensyarah Kimia, yang projek penyelidikannya menarik minat aku. Dia menang silver. Tahniah.

Sempat juga curi-curi masa jumpa kenalan-kenalan maya. Pertemuan pertama, kami dah akrab luarbiasa. Terima kasih Kak Adinda, Kak Ida, Kak Jihah, Ode dan Sdr Kalamutiara kerana bersusah payah luangkan masa untuk bertemu saya di The Mall.

:: Kawan-kawan yang aku sayang; Sam, Pak Lah, Faiz dll. Selamat datang. Aku bukan guna nama samaran la. Memang nama aku. Korang je yang tak panggil aku camtu.
kata Hani pada 1:38 PM   4 reaksi

:: Tuan Rumah ::

Nama: Hani

Tinggal di
Pahang-Johor-Terengganu, Malaysia

Tentang saya:
Practical. Visual learner. Music and rhythm alert. Love colors, art and literature like crazy. Optimist. Loyal. Reliable. Creative. Daydreamer. Intuitive. Full of emotions. Intelligent. Comfortable with conversation and teamwork.

Baca lagi

Lukisan oleh: Daun Hijau
:: Entri Terkini ::
:: Entri Dulu-dulu ::
:: Rangkaian ::
© 2005 TERBANG TINGGI Tema: Tech Blue. Rekaletak: Isnaini dan Hani