TERBANG TINGGI

Kau ingin tahu terbang tinggi apa pengertiannya. Kau perlahan-lahan melangkahkan kaki. Cuba mendaki sejauhnya langit yang tinggi. Seperti mereka yang telah merasa terbang tinggi apa pengertiannya.

 
:: Lensa ::

Menanti Di Barzakh


ku merintih.. aku menangis..
ku meratap.. aku mengharap..
ku meminta dihidupkan semula
agar dapat kembali ke dunia nyata

perjalanan rohku
melengkapi sebuah kembara
singgah di rahim bonda
sebelum menjejak ke dunia
menanti di barzakh
sebelum berangkat ke mahsyar
diperhitung amalan
penentu syurga atau sebaliknya

tanah yang basah berwarna merah
semerah mawar dan juga rindu
tujuh langkah pun baru berlalu
seusai talkin bernada syahdu
tenang dan damai di pusaraku
nisan batu menjadi tugu
namun tak siapa pun tahu
resah penantianku

terbangkitnya aku
dari sebuah kematian
seakan kudengari
tangis mereka yang kutinggalkan
kehidupan disini
bukan suatu khayalan
tetapi ia sebenar kejadian

kembali roh kembali
kembalilah ke dalam diri
sendirian sendiri
sendiri bertemankan sepi
hanya kain putih yang membaluti tubuhku
terbujur dan kaku
jasad di dalam keranda kayu

ajal yang datang di muka pintu
tiada siapa yang memberitahu
tiada siapa pun dapat hindari
tiada siapa yang terkecuali
lemah jemari nafas terhenti
tidak tergambar sakitnya mati
cukup sekali tak sanggup
untuk ku mengulangi

jantung berdegup kencang
menantikan malaikat datang
menggigil ketakutan
gelap pekat dipandangan
selama ini diceritakan
kini aku merasakan
di alam barzakh jasad dikebumikan

ku merintih aku menangis
ku meratap aku mengharap
ku meminta dihidupkan semula
agar dapat kembali ke dunia nyata...

Lagu: Fadzli Far East
Lirik: Ito Lara

Merah Saga


saat langit berwarna merah saga
dan kerikil perkasa berlarian
meluncur laksana puluhan peluru
terbang bersama teriakan takbir

semua menjadi saksi
atas langkah keberanianmu
kita juga menjadi saksi
atas keteguhanmu
ketika yahudi-yahudi membantaimu
merah berkesumba di tanah airmu
mewangi harum genangan darahmu
membebaskan bumi jihad Palestina
perjuangan telah kau bayar dengan jiwa
syahid dalam cinta-Nya

:: Jejak Kalian ::
:: Karya Pilihan ::

Anak Pelarian

sejak dilahirkan dari rahim ibu
mereka belajar
di sekolah hidup menguji
sengketa keliling
mendewasakan mereka
kepayahan adalah
permainan hari-hari
khemah itu adalah
mimpi yang sukar
malam yang memanjang
diisi dengan kelaparan
fajar subuh adalah harapan
sebuku roti
penyambung nyawa yang
semakin genting

::Sahrunizam Abdul Talib::
::Mingguan Wanita::
::1 Mac 2002::

:: Jumlah Kunjungan ::

Free Web Site Counter

sedang membaca

:: Tikaman Madah ::

Menjelang malam, pernahkah kau pasang telinga di dinding jarang pondok petani sebelum dihembusnya pelita derita. Pemimpin; kau cuma bermain kata-kata.

::kemakmuran::
oleh: Anbakri Haron

ISTIMEWA 2
Wednesday, July 25, 2007
Bisik Buat Helmi

setelah kauserta tujuh belas keraian usia
telah kau teguk manisnya pengalaman dari gelas hidup
telah kau kunyah enaknya jaya dari pinggan usaha
telah kau kecap lazatnya reda dari hidang duga
telah kau rasa segala dengan semua deria

ayuh bersamaku, dik
gubah indah kuntum azam
susun kemas dalam pasu iman
kita hias meja usia
di meriah sambutan
hari lahirmu

Hani
Kuala Terengganu
24 Julai 2007 [23:08]

Helmi, satu-satunya adik lelaki saya. Kami sangat satu hati, terutama bab menonton bola (dan membeli majalah Wisel) dan membaca. Dia antara yang paling menyokong minat saya berpuisi dan bercerpen (err, bercerpen?).

Rajin tolong mak kat dapur. Suka bercerita. Anti-AF. Good sense of humor. Suka mengemas. Penyegan sikit dengan perempuan yang bukan keluarga. ‘Hantu’ ragbi, bola tampar dan hoki. Saya pernah tanya, kenapa tak main bolasepak walhal dia peminat nombor satu sukan tu. Jawabnya, ’tak nak, sebab nanti ramai budak perempuan kenal’. Adui la.. Patut la hari tu dapat anugerah ’Pelajar Paling Misteri’ kat sekolah. Undian dari pelajar-pelajar tingkatan 1-4.

Eh, promosi pulak. Ok la. Selamat hari lahir dan semoga cemerlang SPM tahun ni. Minggu depan dah start percubaan rasanya.
kata Hani pada 9:44 PM   0 reaksi
BELASUNGKAWA ERWAN
Friday, July 20, 2007
Tak banyak yang kita kongsi, kecuali lebih seribu hari bergelar siswa-siswi biologi. Berurusan demi nota kuliah dan buku. Hanya itu.

Langkah hari yang pantas, membawa kita ke detik menyudahkan projek tahun akhir. Saya dengan bacillus dan streptococcus. Awak, kurang pasti pula. Yang saya nampak, awak leka dengan puluhan centrifuge tube berisi entah kultur apa.

Jam dua tiga pagi, awak rajin keluar beli makanan. Mi goreng, milo ais, roti canai. Kami tunggu di makmal. Perempuan tak payah keluar malam, kata awak. Awak suka senyum. Jarang cerita yang buruk perihal orang lain. Kawan-kawan yang kerap overnight di makmal macam saya, Pijah, Zila, Naha dll mesti ingat TV kecil yang awak selalu pasang. Tenggelam sunyi dinihari di makmal mikrobiologi.

Tamat ijazah, kita tak jumpa lagi. Saya ke Terengganu, awak entah di mana.

Semalam, sedang ralit sembang dengan adik perihal surah al-Kahfi. Ada SMS masuk.

Al-Kahfi. Lori. Al-Kahfi dan lori. Bersatu dalam minda saya tiba-tiba.

Gee kata awak accident ngan lori. Kat Subang Jaya. Meninggal di situ juga.

Adik saya kata dalam surah al-Kahfi ada kalimah ’al-baqiatus solihah’.

’Al-baqiatus solihah’ tu apa? Perkataan-perkataan yang baik dan segala kebaikan yang dibuat dan dianjurkan, kata Imam Fakrulrazi. Ketaatan kepada Allah dan segala niat yang baik, kata pula an-Nawawi.

Saya doa agar seluruh hayat awak dipenuhi ’Al-baqiatus solihah’. Semoga jadi pemudah jalan awak ke syurga.

Allah bagi awak huni dunia sampai usia dua puluh lima. Saya, entah sampai bila.
kata Hani pada 11:45 PM   0 reaksi
SEMPENA SATU REJAB
Sunday, July 15, 2007
-Dah selamat mendaftar untuk sem baru. Cepat sungguh masa berlalu. Rasa macam baru saja jejak bumi Terengganu. Paling mengesankan selama hampir 2 tahun di Terengganu ni ialah evolusi (atau mungkin juga revolusi) KUSZA. Dari sebuah kolej ugama yang mendamaikan jiwa dan minda kepada sebuah universiti yang... ah, tak mahu komen apa-apa.

-Abah dengan ma dah makin kerap tanya bila nak kahwin. Adehh, tak tau nak jawab apa dah. Dah 2 tahun diorang dok ulang soalan tu. Abah bukan suka anak pompuan dia kahwin lambat. Bila aku suruh carikan, tak mau pula. Nak suruh aku cari sendiri, itu yang susah tu. Lagipun aku muda lagi kan? Ngee.

-Ada sahabat-sahabat maya yang komplen, kata blog ni slow sebab ada banyak sangat benda. Err, buat masa ni rasanya tuan rumah tak mahu kurangkan apa-apa perabot (malah baru saja tambah radio. Eheh). Jika slow untuk akses, jangan marah tuan rumah, marah internet connection anda. Lagi satu, blog ni mungkin sedikit lebih jelita jika dibuka dengan IE, berbanding M.Firefox.

:: Esok 1 Rejab 1428H. Dan seperti ucapan tahun lepas, ’Rejab-Syaaban-Ramadhan; Selamat bermarathon dalam ibadah’. Jika kalian menghidupkan malam-malam dalam bulan-bulan ini, jangan lupa masukkan nama saya sekali dalam doa kalian ya.
kata Hani pada 1:58 PM   0 reaksi
PITAM . BARZAKH . IKIM
Friday, July 13, 2007
Alhamdulillah. Hari ni sihat dan ceria. Semalam separa pitam di pasar malam. Tiba-tiba je rasa sejuk satu badan, kepala berat, mata berpinar-pinar, then tahu-tahu dah landing depan kedai coconut shake. Malu betul. Sungguh dramatik. Nasib baik saya bukan selebriti popular, dan di Malaysia paparazzi tak bermaharajalela. Kalau tak, mesti gambar dah tersebar merata-rata. Eheh.

Saya baru letak video klip ‘Menanti di Barzakh’ di ::Lensa::. Video klip ni tak dibenarkan disiarkan di TV. Sebab sebenarnya tak diketahui. Katanya sebab sensitiviti keluarga allahyarham. Wallahualam. Tapi secara peribadi, lirik yang ditulis AlifLamRa ni sangat sesuai dengan melodinya. Teringat lagu 'Last Breath' oleh Ahmad Bukhatir.

Sekarang musim saya minat lagu ni. Dah berminggu-minggu pagi-petang-malam dok pasang lagu ni, bergilir dengan ’Nur Tuhan’ (Hijjaz) & ’al-Qiyamah’ (Saad Said al-Ghamidi). Roomate pun dah naik penat mendengar agaknya.

Oh ya, siapa nak dengar radio Ikim.fm, boleh ke sidebar kanan, scroll ke bawah, klik saja pada ikon yang warna-warni tu. Ok, selamat mendengar.
kata Hani pada 6:58 PM   2 reaksi
USAHA SEMPURNA
Friday, July 06, 2007
= Kenapa ustaz, orang ni dah mandi bunga sampai 99 kali tapi masih tak bertemu jodoh? Di mana silapnya?
~ Mungkin dalam perancangan Allah, usahanya ialah mandi air bunga 101 kali, tapi dia dah berhenti pada tahap 99 kali.


Sembang2 dengan Gee, Amal, Syaz. Masing2 dengan dugaan tersendiri. Kegelisahan Gee & Amal yang dikongsikan lewat YM, mengingatkan aku kepada firman-Nya, bahawa manusia tu diciptakan sentiasa dalam keadaan gelisah.

Tiba-tiba teringat kenangan menyudahkan Projek Sarjana Muda waktu undergrad dulu. Bekerja dengan bakteria yang tak menentu ragamnya, memang sangat menduga. Dua hari dua malam tak tidur, berkampung di makmal macam pelarian Kashmir. Masih juga jauh dari hasil yang diharapkan.

Gee, ingat lagi tak? Waktu tu la dialog di atas dijadikan penguat semangat. Bahawa kejayaan belum lagi dikecap mungkin kerana usaha kita yang masih belum sempurna, atau kita patah semangat di pertengahan. Kata kuncinya ialah, walau apa pun cabarannya, cuba dan cuba lagi! Allah ada perancangan-Nya sendiri yang di luar pengetahuan kita.

”Dia mengetahui apa yang ada di daratan dan lautan. Dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya” (al-An’am: 59)

:: Model: Gee yang baik hati. Diucapkan terima kasih, dan selamat sambung Ph.D.
:: Amal, aku rindukan kau yang happy go lucky dulu.
:: Syaz, cuba lagi ok. Rasulullah berdepan cabaran lebih besar waktu berdakwah dulu (err, relevan kan?)
kata Hani pada 5:40 PM   4 reaksi
ISTIMEWA
Tuesday, July 03, 2007

1
Anakku
membacalah dari alif
huruf pertama awal pertama
mengangkat makna menatang maknawiyah
sebelum kau baca suku kata pengalaman
sebelum kau baca kalimat kebijaksanaan
di prosa panjang
di kamus kehidupan.

2
Anakku
membilanglah dari satu
satu mafhum Yang Satu
sebelum kau bilang seribu bilah amal
sebelum kau bilang sejuta kerikil dosa
di atas sejadah munajat.

3
Anakku
memanjatlah dari bawah
biar kau arif di mana reput dahan
biar kau arif di mana penyengat bersarang
setelah berada di puncak kau tahu
bila dan bagaimana
turun dengan terhormat.

Nukilan Haji Adnan dari Negeri Sembilan. Saya dedikasikan istimewa buat Kak Ngah, adik tersayang yang kini mengikuti kuliah Usuluddin di UDM Kampus Kusza,
SELAMAT HARI LAHIR ke-21.
kata Hani pada 10:51 AM   0 reaksi

:: Tuan Rumah ::

Nama: Hani

Tinggal di
Pahang-Johor-Terengganu, Malaysia

Tentang saya:
Practical. Visual learner. Music and rhythm alert. Love colors, art and literature like crazy. Optimist. Loyal. Reliable. Creative. Daydreamer. Intuitive. Full of emotions. Intelligent. Comfortable with conversation and teamwork.

Baca lagi

Lukisan oleh: Daun Hijau
:: Entri Terkini ::
:: Entri Dulu-dulu ::
:: Rangkaian ::
© 2005 TERBANG TINGGI Tema: Tech Blue. Rekaletak: Isnaini dan Hani