|
| QALBU |
| Wednesday, August 29, 2007 |
 TUHAN, INI APA? (serangkai suara lara dari diri, sebentuk tanah, yang kan kembali, menjadi tanah)
Tuhan, yang Kauhulur ini apa jika ia indah, mengapa mesti ada gundah jika ia anugerah, mengapa mesti ada gelisah
Ya Allah, yang kugenggam ini apa andai ia permata, mengapa mesti ia meluka andai ia baldu, mengapa mesti ia melayu
Ya Rahman, di depanku ini apa kalau ia ujian, Tuhan, bekalkan bekalkan aku kekuatan kalau ia dugaan, Tuhan, selimutkan selimutkan aku ketenangan
Ilahi, ini sumpah diri tiada kumahu hanya diri-Mu Rabbi, tiada kumahu hanya cinta-Mu. hakiki
Hani 27 Ogos 2007 Kuala Terengganu
|
kata Hani pada 3:34 PM  |
|
|
|
| SAJAKKU DILAGUKAN |
| Thursday, August 16, 2007 |
 Macam yang pernah aku tulis sebelum ni, aku sangat suka lirik-lirik karya Ito Lara/Alif Lam Ra kerana bersifat sebuah puisi yang sempurna. Kadangkala terselit juga perkataan-perkataan baru yang memerlukan aku membelek kamus untuk tahu ertinya dengan tepat. Angan-angan
Aku pun kadang-kadang mengangankan juga mana-mana sajak aku untuk jadi lirik lagu. Cuma masalahnya pada kebanyakan sajak-sajak aku (tak la banyak sangat pun sebenarnya :p), selain tidak bersifat deklamatori, juga kurang sesuai untuk dilagukan. Sebab tu sajak aku biasanya hanya tersiar/tercetak/tersimpan di mana-mana, tapi tak dideklamasikan atau dilagukan. Kecuali dua, iaitu Angin dan Layang-layang dan Menyuluh Sirah Junjungan yang tersiar di Ikim.fm, dan dengannya aku dapat setahun langganan percuma majalah ANIS. Hehe, jimat duit poket. Untuk makluman, aku pembaca setia ANIS sejak 1999. Hampir sedekad! Jadi Kenyataan
Aku sangka ia hanya angan-angan untuk sajak aku dilagukan/menjadi lirik lagu. Sehinggalah dua hari lepas, aku terima khabar dari Sdr Samsul Zakaria a.k.a Airmas_SZ bahawa sajak aku iaitu Dibakar Semangat Abdullah sudah dilagukan. Tak sangka! Aku dah dengar sikit-sikit semalam. Dan aku suka sangat muzik intronya. Thanx sifu! Dan Kenangan Dibakar Semangat Abdullah. Anda fikir ini Abdullah yang mana? Abdullah yang mempopularkan perkataan ’hadhari’ atau AbdullahJones yang misteri? Jika salah satu itu adalah jawapannya, maka anda silap. Silap. Aku tulis sajak ni tahun lepas, sekitar Oktober. Ketika bercuti di kampung dan bersantai-santai mencari bahan bacaan di bilik adik lelaki aku, Helmi. Aku tulis khusus untuk majalah Sastera.Net edisi kedua, terbitan Disember 2006. Jujurnya, ia antara hasil tulisan aku yang aku sendiri kurang suka. Olahannya tak bagus. Sebabnya aku masukkan fakta, maka sifatnya jadi sangat prosaik. Tapi aku suka kisahnya. Ia tentang Abdullah Ibnu Rawahah. (Jika anda jawab Abdullah yang ini, dan bukan dua Abdullah yang tadi atau lain-lain Abdullah, anda sangat hebat!). Soalnya mengapa Abdullah Ibnu Rawahah? Pertama kerana beliau adalah pemuisi, penyair. Dan puisi-puisi serta syairnya sangat disukai Rasulullah. Bait-bait darinya jadi pembakar semangat pahlawan Islam dalam banyak peperangan seperti Khandaq, Badar, Khaibar dan Muktah. Ya, bukti bahawa kata-kata yang baik mampu jadi pemangkin dakwah yang sempurna. Kedua, sebagaimana para sahabat lain zaman awal kebangkitan Islam, pengorbanan beliau tiada taranya. Antara yang mengesankan ialah kisah yang sangat terkenal di mana beliau menjadi pembawa panji Islam dalam peperangan Muktah. Beliau pahlawan ketiga yang diamanahkan Nabi selepas syahidnya Zaid bin Harithah dan Jaafar bin Abi Talib dalam peperangan tersebut. Dan medan Muktah juga jadi saksi beliau dipanggil menghadap Ilahi. SelamanyaSusuri sejarah mereka. Kalian akan terpegun dengannya. Dan aku, dengan sedikit anugerah yang ada, akan gunakan ke arah yang tidak sia-sia. Dengan izin-Nya. |
kata Hani pada 4:23 PM  |
|
|
|
| FITRAH KIMIAWI |
| Thursday, August 09, 2007 |
Awalan “Kewanitaan anda menyerlah. Sekadar penyelit ilmu; teknologi perubatan kesuburan di Malaysia berada di peringkat wahid. Menyatakan kegagalan teknologi tersebut memberi kesan yang bermakna bagi pembaca seperti saya. Syabas. Cerpennya bagus.” [Rahmat Haroun Hashim 26/05/2007] Komen yang ditinggalkan di cerpen saya, Gempa Menggegar Sukma. Cerpen yang berkisar seputar watak ‘aku’ yang menjejak Marlini, wanita yang bakal dinikahi suaminya. Mengungkap soal poligami, takdir, rasa kemanusiaan, psikologi dll. Mengambil latar di Ranah Minang, Sumatera Barat ketika kejadian gempa bumi, Mac 2007 yang lalu. Kenapa saya beli buku ini?
Rahmat Haroun Hashim. Satu nama yang tersendiri dalam peta kesusasteraan tanah air. Memilih menulis karya berbentuk sains fiksyen, sesuai dengan latar beliau sebagai seorang doktor. Nama beliau di muka hadapan beberapa novel, kerap melintas setiap kali saya singgah di kedai-kedai buku (antara novel beliau termasuklah Manuklon, Di.Ar.Ti, Terang Bulan & Hikayat Neogenesis). Dan respon beliau terhadap cerpen saya tu, cukup untuk buat namanya melekat kemas di minda. Tambahan pula, saya kerap membaca puisi dan artikel sains beliau di komuniti esastera. Alasan di atas menguatkan keputusan saya untuk miliki novel beliau, ‘Fitrah Kimiawi’, terbitan DBP cetakan pertama 2006. Cerita tentang apa?
Sebagaimana tajuknya, kandungan novel ini keseluruhannya berdiri atas konsep kimia. Antaranya bagaimana kimia bertindak apabila melibatkan cinta, nyawa, minda, gizi, arak, histeria, jenayah, puisi & peperiksaan. Sungguh, banyak ilmu yang dapat dikaut di dalamnya. Kisah bergerak melalui watak Omar, seorang pelajar MRSM yang ’gila kimia’. Dia akan mengkaji pengaruh kimia dalam setiap kejadian yang berlaku di sekitarnya. Malah menggunakan aplikasi kimia untuk memikat guru Bahasa Inggerisnya. Satu yang lucu ialah apabila surat cinta yang ditabur serbuk pengasih telah tersalah sasaran. Malah saya tersenyum sendiri pada babak Cikgu Kartini memulangkan kembali surat cinta pemberian Omar, siap dengan pembetulan tatabahasa dan struktur ayat yang ditanda dengan pen merah. Yang saya suka
Saya disapa kagum, melihat bagaimana penulis mengaitkan setiap peristiwa yang berlaku sehari-hari dengan pengaruh kimiawi. Juga terasa ’segar’ setiap kali bertemu perkataan-perkataan baru. Nyata penulisnya punya satu gedung perbendaharaan kata yang mewah. Itu belum dicampur dengan puluhan istilah kimianya. Yang saya kurang suka
Seperti lazimnya, sangat jarang ada karya yang mampu membuatkan saya baca dari awal hingga akhir dengan selesa, termasuklah novel ini. Jika tidak kerana dahagakan ilmu di dalamnya, dah pasti saya tutup lantas simpan di rak sebaik habis bab 2. Kemasukan ilmu bantu nampak terlalu jelas pada pandangan saya. Penggunaan dialog yang terhad, membuatkan saya terasa seperti membaca artikel. Akhiran
Barangkali kerana ekspektasi yang terlalu tinggi, saya akhiri novel 334 halaman tersebut dengan wajah yang kosong. Itu saya, mungkin kalian tidak. Apa pun, penulis seperti Rahmat Haroun Hashim sangat saya sokong kehadiran hasil karyanya, kerana karya berbentuk fiksyen sains amat terhad di Malaysia. |
kata Hani pada 10:00 PM  |
|
|
|
| DJ-ARTIS |
| Wednesday, August 01, 2007 |
 Teruja! Teruja! (Ini mood 4 hari yang lalu). Dekat seminggu tak update. Hari ni nak tulis panjang-panjang. Biasa dengar Ikim.fm? Kalau tak pernah, boleh klik kat ikon di sidebar kanan. Pagi Sabtu, jam 1.00, ada segmen ‘Zon Artis’. Artis, tepatnya artis nasyid, dijemput untuk jadi DJ. Setakat ni baru 4 minggu segmen ni. Maksudnya baru 4 orang artis jemputan. Walaupun dah biasa menyanyi, tapi bakat sebagai DJ boleh tahan jugak. Edisi perdana, DJ jemputan ialah ustaz rock, Ustaz Akhil Hayy. Memang berbakat besar jadi DJ, tapi macam janggal je bila bersiaran kat Ikim. Kalau jadi DJ tetap, kira memang lain dari yang lain la kat Ikim tu. Ustaz Akhil sebagai DJ mengingatkan aku kepada Isma Halil Hamzah, DJ yang pernah popular kat Radio Muzik ngan THR tu. Dah la dia putar lagu Ramli Sarip, favourite Ismahalil. Dalam masa yang terhad tu, Ustaz Akhil masih sempat selit bermacam nasihat. Suka sangat aku. Sesuai la dengan identiti dia. Tapi dalam serius, tetap terselit humor. Terkekeh-kekeh aku gelak sensorang dalam gelap (lampu tutup sebab roommate dah tido). Minggu kedua, Is Firdaus. Aku dah agak, dia mesti masuk list punya. Sebab seingat aku, beberapa tahun lepas Ikim pernah buat segmen macam ni, dan Is antara yang terlibat, selain Bazli UNIC. Is sebagai DJ, macam lecturer tengah bagi lecture (memang dia lecturer pun). Dari 5 bintang, aku bagi la 3. Aku dengar sampai habis sebab itu adalah Is. Kumpulan Firdaus adalah antara kumpulan nasyid yang aku ikuti betul-betul perkembangannya dari awal penglibatan diorang hampir 10 tahun dulu. Keluar masuk ahli, latar belakang, jatuh bangun dan suram-terangnya perjalanan mereka. Sebabnya? Hehe, biarlah rahsia. Yang aku tak mungkin lupa, semangat aku untuk belajar sampai master ni, antara yang mencetusnya ialah Is, 5 tahun dulu. Hmm, dia pun dah lupa agaknya. Minggu ketiga, aku dengar separuh je. Ingatkan takde, sebab minggu tu ada siaran Tilawah al-Quran. Kali ni Amin In-team. Ok, bagus. Tipikal penyiar Ikim. Yang ni takleh komen sangat sebab aku tak berapa fokus, aku dengar sambil study. Pernah la tengok Amin ni perform live, time In-team ngan Hijjaz datang UTM. Masa tu aku baru tahun satu. Temankan member yang sakan minat kat In-team. Terbaru, Nabil Far East. Yang ni memang magic, sebab instinct aku tiba-tiba betul. Sebenarnya malam tu aku dah ngantuk tahap kritikal. Baru mata nak lelap, tetiba terfikir. ‘Rasa macam Far East je malam ni, kalau tak Fadzli mesti Nabil’. Hati aku kata kat aku. Hehe. So, dek kerana tu, aku pun keluar la tercongok kat ruang tamu dengar radio (biasanya dengar kat handset je, tapi malam tu tak jumpa cari earphone). Start-start je, intro lagu ‘Azimat Ibunda’. Confirm Far East! Rasa nak peluk-peluk radio tu. Huhu. Ok, Ustaz Nabil memang berbakat jadi DJ. Confident, dan komunikasi sehala yang baik. Aku bagi 4 bintang. Kalau slowkan sikit speed, aku bagi 4.5. Dan kalau selitkan satu atau dua lagu nasyid dari luar negara, aku dengan murah hatinya bagi 4.95 bintang (sebab kalau 5 tu dah kira perfect la pulak kan?). Paling best ialah lagu penutup – ‘Menanti di Barzakh’! Wah, macam tau-tau aku tunggu lagu tu. Oh ya, malam tadi Akhil Hayy ada kat Seberang Takir. Dekat je. Aku tak pergi sebab takde teman. Lagipun kena siapkan kerja sikit sebab pagi ni nak kena jumpa supervisor. Isk.. Ok. Tamat. Terima kasih kepada yang membaca dan tidak membaca :)
|
kata Hani pada 2:12 PM  |
|
|
|
|
 |
| :: Tuan Rumah :: |
|

|
Nama: Hani
Tinggal di Pahang-Johor-Terengganu, Malaysia
Tentang saya: Practical. Visual learner. Music and rhythm alert. Love colors, art and literature like crazy. Optimist. Loyal. Reliable. Creative. Daydreamer. Intuitive. Full of emotions. Intelligent. Comfortable with conversation and teamwork.
Baca lagi
|
| Lukisan oleh: Daun Hijau |
| :: Entri Terkini :: |
|
| :: Entri Dulu-dulu :: |
|
|
| :: Rangkaian :: |
|
|
|