TERBANG TINGGI

Kau ingin tahu terbang tinggi apa pengertiannya. Kau perlahan-lahan melangkahkan kaki. Cuba mendaki sejauhnya langit yang tinggi. Seperti mereka yang telah merasa terbang tinggi apa pengertiannya.

 
:: Lensa ::

Menanti Di Barzakh


ku merintih.. aku menangis..
ku meratap.. aku mengharap..
ku meminta dihidupkan semula
agar dapat kembali ke dunia nyata

perjalanan rohku
melengkapi sebuah kembara
singgah di rahim bonda
sebelum menjejak ke dunia
menanti di barzakh
sebelum berangkat ke mahsyar
diperhitung amalan
penentu syurga atau sebaliknya

tanah yang basah berwarna merah
semerah mawar dan juga rindu
tujuh langkah pun baru berlalu
seusai talkin bernada syahdu
tenang dan damai di pusaraku
nisan batu menjadi tugu
namun tak siapa pun tahu
resah penantianku

terbangkitnya aku
dari sebuah kematian
seakan kudengari
tangis mereka yang kutinggalkan
kehidupan disini
bukan suatu khayalan
tetapi ia sebenar kejadian

kembali roh kembali
kembalilah ke dalam diri
sendirian sendiri
sendiri bertemankan sepi
hanya kain putih yang membaluti tubuhku
terbujur dan kaku
jasad di dalam keranda kayu

ajal yang datang di muka pintu
tiada siapa yang memberitahu
tiada siapa pun dapat hindari
tiada siapa yang terkecuali
lemah jemari nafas terhenti
tidak tergambar sakitnya mati
cukup sekali tak sanggup
untuk ku mengulangi

jantung berdegup kencang
menantikan malaikat datang
menggigil ketakutan
gelap pekat dipandangan
selama ini diceritakan
kini aku merasakan
di alam barzakh jasad dikebumikan

ku merintih aku menangis
ku meratap aku mengharap
ku meminta dihidupkan semula
agar dapat kembali ke dunia nyata...

Lagu: Fadzli Far East
Lirik: Ito Lara

Merah Saga


saat langit berwarna merah saga
dan kerikil perkasa berlarian
meluncur laksana puluhan peluru
terbang bersama teriakan takbir

semua menjadi saksi
atas langkah keberanianmu
kita juga menjadi saksi
atas keteguhanmu
ketika yahudi-yahudi membantaimu
merah berkesumba di tanah airmu
mewangi harum genangan darahmu
membebaskan bumi jihad Palestina
perjuangan telah kau bayar dengan jiwa
syahid dalam cinta-Nya

:: Jejak Kalian ::
:: Karya Pilihan ::

Anak Pelarian

sejak dilahirkan dari rahim ibu
mereka belajar
di sekolah hidup menguji
sengketa keliling
mendewasakan mereka
kepayahan adalah
permainan hari-hari
khemah itu adalah
mimpi yang sukar
malam yang memanjang
diisi dengan kelaparan
fajar subuh adalah harapan
sebuku roti
penyambung nyawa yang
semakin genting

::Sahrunizam Abdul Talib::
::Mingguan Wanita::
::1 Mac 2002::

:: Jumlah Kunjungan ::

Free Web Site Counter

sedang membaca

:: Tikaman Madah ::

Menjelang malam, pernahkah kau pasang telinga di dinding jarang pondok petani sebelum dihembusnya pelita derita. Pemimpin; kau cuma bermain kata-kata.

::kemakmuran::
oleh: Anbakri Haron

PENGADUAN KEPADA TUHAN
Sunday, November 18, 2007
Pengaduan Kepada Tuhan

Tuhan, Kau telah memberitahu kami
tentang peristiwa akhir zaman
peristiwa di zaman kami ini
melalui lidah Nabi-Mu

di zaman ini ikhtilaf banyak terjadi
firqah sesat tujuh puluh dua banyaknya
al-Quran dijadikan barangan dagangan
isinya sudah tidak dihiraukan

Tuhan kekasih-Mu memberitahu
dunia dijadikan barang yang diburu
muslimin diseksa dan dihina
oleh tangan-tangan kafir durjana

Tuhan Nabi-Mu terus bermadah
ilmu akhirat ditinggalkan orang
ilmu dunia dijadikan rebutan
perempuan-perempuan dijadikan hiasan

rumah-rumah syaitan penuh riang
rumah-rumah Tuhan kosong dan lengang

Tuhan yang paling menakutkan
Nabi-Mu pernah bersabda
di akhir zaman yang paling jahat
ulama yang memandang dunia
tabiatnya busuk bak bau bangkai
siapa tercium kan mati jiwanya

Tuhan Nabi-Mu menyambung lagi
terhadap peristiwa akhir zaman
perempuan hilang malunya
anak tidak hormati ibu bapa
bahkan keduanya dijadikan kuli
atau sudah tidak dipeduli

Tuhan penutup kata kami ceritakan
dari lidah Nabi kekasih-Mu
rezeki yang halal susah dicari
ibarat mencari berlian berharga

Tuhan kekasih-Mu menjanjikan
kedatangan mujaddid baru
muslimin nasibnya akan terbela
rumah-rumah Tuhan penuh riang
rumah-rumah syaitan akan musnah
perempuan-perempuan akan dilindungi
anak-anak soleh dan solehah
kebenaran kan pasti terbukti


:: Sekarang tengah suka dengar lagu ni. Lagu lama. Zaman sekolah-sekolah dulu lagi.
:: Credit to saudara Asyraffdini for this beautiful song (setelah aku digelakkan sebab mati-mati ingat tajuk lagu ni ’Peristiwa Akhir Zaman’. Lalala).
:: Ada satu lagu lagi yang best jugak. By Sami Yusuf, tapi tak sure tajuknya.
kata Hani pada 7:50 PM   1 reaksi
LOG PANJANG 10 NOVEMBER
Saturday, November 10, 2007
Ketika pening dan keliru dengan beban tugas yang kelihatannya seperti di luar kemampuan aku, ditambah bisik2 syaitan – ‘tengok tu, orang lain pun sambung master, tak perlu pun buat semua yang kau buat ni, nanti dapat ijazahnya sama juga’ – aku pun rehat2kan fikiran dan pujuk2 diri sendiri. Tapi tidaklah mudah. Seperti sukarnya menunaikan hak sabar dan syukur. Syaitan memang suka bisik bukan2. Kalau dia ada di depan, memang aku ketuk dengan senduk.

Hati agak diuji beberapa hari kebelakangan ni. Aku cuba melihatnya sebagai satu peluang yang baik. Peluang muhasabah diri. Peluang menjernihkan hati. Peluang jadi berani. Dan sebagainya. Keikhlasan dan kesungguhan aku barangkali sedang diduga-Nya. Tapi entah datang dari mana (dari Allah tentunya) hati aku agak tenang, meski tak dinafikan awalnya sedikit celaru. Bukankah hati manusia tu dalam genggaman Allah sepenuhnya? Dan setiap yang berlaku di dunia ni, semua dalam perancangan Dia. Semoga sifat redha memenuhi ruang hati aku. Redha dengan ketetapan-Nya, agar Dia pula redha dengan aku. Mudah-mudahan.

Seorang saudara seakidah memohon diluangkan sehari bersamanya. Aku sambut dengan hati terbuka, insyaallah. Mendengar ceritanya, aku diam. Tapi dalam hati ada tangisan yang tak tergambarkan. Dalam keadaan ummat yang sedang sakit, segelintir orang2 berilmu dan berpendidikan memilih untuk saling membina benteng di antara sesama sendiri.

[Terasa ada luka dalam dada]

Kalau di kalangan ‘yang-punya-rasa-cinta-pada-agama-dan-ilmu-agama’ pun saling berburuk sangka (ah, adakah aku juga sedang berburuk sangka sekarang? Astaghfirullah), saling menyebar cerita dusta dan memburukkan sesama sendiri, maka siapa atau kelompok mana lagi yang boleh diharap untuk memulihkan dan merawat penyakit ummat? Sungguh, ada sebak yang datang.

Yang liat solat, yang melihat sambil lewa soal menutup aurat, yang akrab dosa dan maksiat, apatah lagi yang hampir murtad (nauzubillah); siapa yang nak tuntun mereka semula kepada agama kalau ’orang2 agama’ pun sibuk menghabiskan baki usia (yang taklah sepanjang mana) dengan saling curiga-mencuriga, saling memandang rendah sesama sendiri?

Barangkali akan ada yang kata TAK SEMUA MACAM TU. Tapi bukankah itu masih tetap sesuatu yang menyedihkan? Kita mahu SEMUA TAK MACAM TU, bak kata AJ. Saat aku rindu mahu kembali, ya kembali, untuk berdiri satu saf dengan ’orang2 seperti mereka’, aku diuji dengan mendengar kisah2 sebegini.

Aku harap setiap umat Muhammad kekal berjalan atas landasan keikhlasan. Bila keikhlasan dikesampingkan, akan wujud la macam2 perkara yang menyedihkan. Alangkah rugi, sangat rugi. Kelompok ’orang baik2’ yang seharusnya bersatu mengajak yang makruf mencegah yang mungkar, tapi retak kesatuannya. Memutuskan tali ukhuwah. Sudahlah di akhir zaman ni nak memintal sejengkal tali ukhuwah pun dah cukup susah, bila dah siap seuntai, nak diputuskan pulak. Apa kes?

Oh, cara aku cakap kelihatannya macam sudah teruk sangat. Tak, jumlah mereka mungkin cuma segenggam dari sebukit. Cuma setitik dari setasik. Cuma aku bimbang ia jadi seperti sel barah. Atau seperti duri, atau selumbar, yang asalnya kecil tapi kalau tak dibuang lama-kelamaan merebak dan bernanah, membarah, membunuh.

Aku doa sangat agar aku, dan teman2, juga umat Islam seluruhnya, takkan meletakkan dunia sebagai matlamat utama. Sangat jelas sekarang yang penyakit wahn dah melanda ummat. Cinta dunia dan takut mati. Cinta nama, pangkat, harta, popular, wanita, puji dan puja. Puji dan puja. Ya Allah, nauzubillah. Aku mohon sangat dengan Allah, agar bantu kami, umat akhir zaman ni, untuk kembali suluh diri. Agar hanya redha Allah diletakkan sebagai matlamat tertinggi.

Aku sendiri sangat sarat kekurangan. Masih tak kuat dengan sifat seorang da’ie. Usah kata nak berdakwah kepada orang lain, nak istiqamah amalan kebaikan sehari2 pun sukar benar. Kepada Tuhan aku mohon kekuatan, sebelum nyawa bercerai dari badan.

Dalam seribu satu keselesaan, masih aku tak mampu nak beribadat sepenuh hati kepada Tuhan. Rabiatul Adawiyah, ketika jadi hamba, ibadahnya sembunyi2. Aku, tak perlu bersembunyi. Para generasi terawal Islam, sebarkan dakwah juga secara diam2, bimbangkan ancaman dan sebagainya.

Sekarang negara aman damai, tak ada peluru sesat atau bom di sini-sana, tapi di tengah kedamaian tu masih susah benar nak lihat orang Islam mengimarahkan masjid. Kalau ada pun pakcik2 yang dah tua, yang terkial2 mengayuh basikal di tengah terik siang atau pekat malam. Anak2 muda, atau setidaknya yang berusia bapa2, masih leka dengan urusan dunia yang memang takkan pernah habis (sehinggalah disapa malaikat maut).

Kenapa pakcik2 ni begitu kuat semangatnya mengerah kudrat ke masjid mengejar fadhilat solat bersama imam, di rumah Allah? Barangkali rambut yang mula memutih dan kudrat fizikal yang kian terbatas buat mereka lebih ingat akan hari mati. Yang muda2 pula cukup yakin agaknya yang mereka boleh hidup sehingga usia tua (termasuk aku juga sekali-sekala. Allah...). Ah, dunia. Begitu mempedaya.

Entahlah. Ada beberapa perkara yang buat aku kadang2 mengeluh (?) sendiri. Aku lemah. Semoga Allah beri aku-kamu-kita kekuatan. Untuk faham apa yang diwariskan oleh Quran dan sunnah. Bukan setakat itu, lebih penting lagi aku-kamu-kita amalkan. Juga semoga aku, dan kamu, tak sesekali pandang rendah pada sesiapa pun, hatta orang yang pada zahirnya kelihatan seperti sejahat2 manusia. Sebab hidayah tu milik Allah. Rujuk kisah Umar, Abu Sufian, Hindun, Zulaikha, Wahsyi, Fudhail Iyadh dll.

Aku sendiri belum tahu bagaimana tahap iman aku di saat dipanggil kembali pada-Nya nanti (dan ’nanti’ itu boleh jadi sebentar saja lagi). Selagi bernama umat Islam, umat Muhammad, maka semuanya bersaudara. Dan setiap saudara punya hak untuk dimaafkan setiap kesilapan, dan ditunjuk jalan kebenaran.

Maafkan kesilapan aku, kawan. Dan tunjuki aku jalan kebenaran.

:: Oh, mata dan tubuh mula menuntut haknya. Aku cuma rehat kurang 2 jam malam tadi. Salam permisi ;)
::
Kredit gambar: Kak Nett. Aku lupa link fotopagesnya sebab gambar ni aku save lama dulu :)
kata Hani pada 12:50 PM   0 reaksi
SEBERKAS KUNCI
Saturday, November 03, 2007
Nota: Jika anda baca entri ini (atau mana-mana entri yang seangkatan dengannya) untuk ulasan ilmiah, anda mungkin kecewa. Saya bukan ingin mengulas buku. Saya hanya sedikit bercerita tentang buku yang saya baca dan kaitannya dengan saya.

Awalan

Lebih sedekad lalu, ketika tersenarai sebagai pelajar terbaik Bahasa Melayu, saya dihadiahkan ‘Sungai Kasih’. Himpunan 17 buah cerpen dan 21 puisi pemenang Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank 1993. Di dalamnya terkandung puisi T. Alias Taib, ’Pembeli Masa Sudah’. Saya tak ambil kisah, sebagaimana tidak kisahnya saya pada 37 karya lain di dalamnya. Usia yang masih leka dengan Dongeng Rakyat Dunia, Siri Salma, Tujuh Penyiasat, Saidina, Sahibba, rounders, galah panjang malah juga Power Rangers; menjadikan longgokan pemikiran dan laras bahasa di dalam 'Sungai Kasih' itu terlalu asing bagi saya.

Lebih setahun lalu, respon berbunyi “macam puisi T. Alias Taib” pada salah sebuah sajak saya oleh seorang kenalan, telah memanggil kembali ingatan terhadap nama itu. Dan saya mula mencari-cari tulisan beliau semula.

Seberkas Kunci dan Saya

Bagi pemerhati, penggiat, mahupun peminat sastera, khususnya puisi, pasti sangat sebati dengan karya T. Alias. Saya, yang mula ketagih dengan diksinya, cuba mencari-cari semula antologi beliau. Saya temui ’Pasar Pengalaman’, tetapi tidak ’Pemburu Kota’ serta ’Seberkas Kunci’. ’Laut Tak Biru di Seberang Takir’ jauh sekali.

Tanpa saya duga, entri Antologi Puisi lima bulan lalu, menjadi sebahagian asbab ’Seberkas Kunci’ menjadi milik saya tiga minggu kemudian. Terima kasih buat saudara Amir Hazlin a.k.a Cikgu Rimanilzah di Perak yang sudi hadiahkannya bersekali dengan ’Mantera’ (Marzuki Ali). Cayalah cikgu! Dan terima kasih juga abang posmen, sebab buku tu sampai dengan selamatnya ke peti pos saya.

Ada Apa?

Antologi terbitan DBP (1985) ini memuatkan 93 puisi beliau yang dihasilkan sekitar tahun 1971-1983. Merupakan antologi kedua selepas ’Pemburu Kota’ (1978), jika saya tidak silap. Simple, tanpa sebarang kata pengantar atau pengenalan. Hanya biodata ringkas di muka belakang. Seingat saya, terdapat tidak kurang dari lima puisi konkrit di dalamnya. Puisi bertajuk ’Di Parlimen’ yang dipenuhi tanda seru dan tanda soal buat saya senyum sendiri. Jika anda mahu baca kisah-hidup-di-sebalik-nama-wanita sebagaimana yang menjadi identiti penyair ini, anda tidak akan temui dalam antologi ini, kecuali satu iaitu ’Maimon 3’.

Yang Saya Suka

Tentunya idea beliau dan corak penyampaiannya melalui diksi-diksi yang dipilih. Luar biasa. Dan saya mencemburuinya. Membaca antologi ini juga, seolah melihat perkembangan penulisan beliau sepanjang tempoh lebih sedekad tersebut – zaman ibubapa saya masih menghabiskan persekolahan dan baru berkenal-kenalan. Dan pastinya antologi ini sangat bermakna kerana dihadiahkan oleh seorang kenalan, kenalan maya.

Yang Saya Kurang Suka

Adakah? Barangkali tidak ada. Kecuali satu, tiada tercatat tarikh dan tempat puisi-puisi yang dihasilkan. Saya sedikit terkilan di situ. Sebab saya suka untuk tahu bila dan di mana setiap puisi yang saya baca itu dihasilkan.

Akhiran

Antara yang meralatkan saya ialah tidak berkesempatan bertemu beliau. Beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 2004, ketika saya masih belum seperti sekarang – akan pergi ke mana sahaja yang terdaya untuk ilmu, persahabatan, mahupun persaudaraan. Beliau pergi ketika saya masih menuntut di selatan, dan sekarang, apabila saya tiba di Terengganu, yang ada hanya laut, langit, tanah dan bayu Seberang Takir yang pernah menyaksikan dewasanya seorang T. Alias Taib.

Saya kongsikan sebahagian dari satu puisi dalam antologi tersebut yang saya petik secara rawak. Tajuknya ’Kepada Allah’.

Allah
aku ingin menghampiri-Mu
bagai kapal pada pelabuhan
lindungi aku
bagai pelabuhan pada kapal

Allah
aku sujud pada-Mu

dalam kembara ini
aku adalah hujan
mencakar jendela-Mu

[T. Alias Taib, 1979]
kata Hani pada 4:02 PM   0 reaksi

:: Tuan Rumah ::

Nama: Hani

Tinggal di
Pahang-Johor-Terengganu, Malaysia

Tentang saya:
Practical. Visual learner. Music and rhythm alert. Love colors, art and literature like crazy. Optimist. Loyal. Reliable. Creative. Daydreamer. Intuitive. Full of emotions. Intelligent. Comfortable with conversation and teamwork.

Baca lagi

Lukisan oleh: Daun Hijau
:: Entri Terkini ::
:: Entri Dulu-dulu ::
:: Rangkaian ::
© 2005 TERBANG TINGGI Tema: Tech Blue. Rekaletak: Isnaini dan Hani